26 C
Kota Kinabalu
Khamis, Jun 20, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

GLC Sabah perlu lebih proaktif memacu pendapatan negeri .

Gambar atas: James melawat kerosakan jalan raya di Kg.Pinunakan.

SUGUT: Syarikat berkaitan Kerajaan Negeri Sabah perlu memainkan peranan lebih proaktif dalam memacu pendapatan negeri selain mempelbagaikan produk pengeluaran khasnya dalam bidang pertanian dan perikanan.

Adun Sugut, Datuk James Ratib berkata, syarikat dibawah Kerajaan Negeri Sabah disarankan untuk meneroka pelbagai bidang berkaitan pertanian dan perikanan agar kedua-dua produk berkenaan menjadi suatu hub pengeksportan tinggi sekaligus menjana pendapatan lumayan.

“Sebagai contohnya ketika ini ramai petani, penternak dan nelayan yang mengalami kekurangan baja termasuk mempersoalkan tentang harga bahan tersebut. Namun kilang pengeluar baja berasaskan pertanian dan perikanan di negeri Sabah masih berskala kecil”. Jelasnya.

James yang juga Pembantu Menteri Pertanian Dan Perikanan Negeri Sabah menambah, tanah-tanah terbiar milik kerajaan akan lebih bermanfaat jika diberi peluang kepada syarikat milik kerajaan negeri mendirikan perusahaan yang sesuai.

Katanya, mana-mana syarikat milik kerajaan yang kurang berpotensi mungkin boleh digabungkan dengan syarikat lebih besar untuk mewujudkan daya saing proaktif untuk tujuan menjana pendapatan serta mewujudkan peluang pekerjaan.

PRIHATIN…James ditemani Ahli Jawatankuasa Gereja St.John Kg.Sinaputan, Telupid melawat bangunan rumah rehat gereja itu yang runtuh akibat mendapan tanah

“Pendapatan kerajaan akan lebih kukuh jika mana-mana syarikat yang kurang berpotensi digabungkan dan agak mudah di urus tadbir”. Tambahnya ketika melawat kawasan pertanian di Kg.Sinaputan, Kg.Rumidi Baru dan Kg.Pinunakan, Telupid pada Ahad.

Dalam masa sama, James turut mencadangkan agar jurang politik antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan dapat dikurangkan dan lebih fokus untuk pembangunan rakyat.

Tegasnya, jurang politik yang sering ditiupkan sesetengah pihak melemahkan sedikit pembangunan yang seharusnya diterima rakyat.

Beliau memberi contoh keadaan jalan raya di tiga buah perkampungan dalam mukim Nangoh yang masih belum diturap sedangkan rakyat benar-benar memerlukan laluan itu untuk keselesaan hidup.

“Masa untuk meniupkan perbezaan sentimen politik perlu dikurangkan. Lihat sebaiknya rintihan rakyat akar umbi, mereka muak dengan isu-isu politik dan pemimpin perlu menyelami denyut nadi rakyat”. Tegasnya.

Dalam lawatan itu, James telah meluluskan permohonan pembaikan bangunan rumah rehat Gereja St.John Kg.Sinaputan yang rosak akibat mendpan tanah baru-baru ini.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN