MOHD RAFI ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Kepimpinan UMNO lima peringkat di Desa Tunas, pada Sabtu.
LABUAN: Usaha untuk melahirkan anak muda tempatan yang berkemahiran dalam bidang minyak dan gas serta perkapalan merupakan fokus utama Giat MARA Labuan ketika ini.
Perkara itu dijelaskan oleh Pengerusi Penasihat Giat MARA Labuan yang baharu dilantik, Datuk Mohd Rafi Ali Hassan ketika ditemui pemberita pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Kepimpinan UMNO lima peringkat di sini, kelmarin.
Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, Giat MARA Labuan akan memperluaskan program kemahiran yang sedia ada kepada kursus baharu yang berkaitan dengan minyak dan gas serta perkapalan seiring dengan keperluan minyak dan gas.
Mohd Rafi yang juga Ketua UMNO Bahagian Labuan berkata, program tersebut dibiayai menerusi peruntukan RM300,000 daripada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dijadual dilaksanakan selewat lewatnya pada tahun ini dengan membabitkan seramai 50 pelatih baharu.
“Bagi merealisaikan impian itu, Giat MARA Labuan bersedia untuk menjalinkan kerjasama dengan syarikat perlimbungan kapal yang tidak asing lagi di Labuan iaitu Labuan Shipyard Engineering (LSE) dan beberapa syarikat utama dalam industri minyak dan gas bagi menawarkan pelbagai program kemahiran untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada anak anak muda tempatan dari Labuan yang terlatih.
“Inisiatif ini bertujuan menempatkan GiatMARA Labuan sebagai pusat kecemerlangan bagi sektor O&G Labuan yang sedang berkembang pesat” katanya.
Sementara itu katanya, GiatMARA Labuan sudahpun mengadakan perbincangan dengan pengurusan LSE dan rundingan lanjut sedang dirancang bersama beberapa syarikat O&G terkemuka lain.
Katanya, LSE yang sudahpun terkenal sebagai sebuah syarikat pembuat dan pembaikan kapal serta industri O&G di rantau Asia Pasifik.
“Kesepakatan dengan LSE ini amat penting disebabkan kemudahannya yang intensif serta mempunyai banyak bidang kemahiran.. dan kami berharap dapat menjamin peluang pekerjaan untuk pelatih dan kemuncaknya menjadikan GiatMARA sebagai pusat kecemerlangan Labuan,” katanya
Menurut beliau, matalamat Giat MARA Labuan adalah untuk menghasilkan sekurang-kurangnya 20-50 graduan GiatMara yang berkemahiran tiunggi bagi memenuhi permintaan sektor ini.
Kerjasama itu nanti, bukan sahaja dapat mengangkat martabat GiatMARA tetapi turut mencipta peluang pekerjaan untuk penduduk tempatan khususnya anak muda.