Robert….Pelbagai usaha telah dilakukan untuk Negeri amnya dan DUN Bingkor khususnya.
KENINGAU:Hari ini 29 September 2021, genaplah usia Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai Kerajaan Negeri Sabah setelah Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah pada 29 September tahun lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)Datuk Robert Tawik @ Nordin berkata, sebagai Wakil Rakyat bagi kawasan N.40 Bingkor yang telah diberi amanah dan tanggungjawab khususnya setahun sebagai ADUN dalam kerajaan, pelbagai usaha telah dilakukan oleh beliau sama ada untuk Negeri Sabah amnya dan penduduk DUN Bingkor khususnya.
Katanya, untuk penduduk DUN Bingkor ini, jika tiada halangan, berbaki empat tahun ini usaha secara konsisten akan tetap diteruskan semoga segala urusan dan usaha dipermudahkan agar dapat berjalan dengan lancar seterusnya membuahkan hasil untuk memastikan semua penduduk dan kampung dalam kawasan DUN ini dapat menikmati keperluan, pembangunan dan kemudahan.
“Oleh itu, saya juga ingin memberi maklumat agar persoalan yang sering diutarakan dapat terjawab bahawa projek-projek utama yang bakal dilaksanakan dan sedang diusahakan ialah projek yang sudah masuk dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan yang telah diumumkan Menteri Kementerian Kerja Raya semasa lawatan ke Keningau tempoh hari iaitu Jalan Bunga Raya- Kikiran, Jalan Minansut SK, Menaiktaraf daripada Low Level Crossing kepada Jambatan Konkrit iaitu di Mongitom, Minansut dan Sungai Liawan di Kampung Dangulat, Naiktaraf Jalan Patikang Tengah dan Pembelian empat buah mesin pengepam air untuk Daerah Keningau” jelasnya.
Manakala katanya, projek dalam perancangan (kajian dari pihak Jabatan Kerja Raya juga telah siap) ialah Jalan Liau dan Jalan Baginda – Kota Ayangan.
“Selain itu penaikantaraf fasiliti kesihatan membabitkan Klinik Kesihatan Bingkor dan Klinik Kesihatan Apin-Apin.
telah dikemukakan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia”
Sementara itu katanya, bagi penduduk dan kampung yang belum menerima keperluan-keperluan, kemudahan dan penyelesaian masalah, diharap dapat bersabar.
“Jika anda merasa masalah anda tidak diberi perhatian, sampaikan dengan menggunakan saluran yang betul seperti berjumpa dengan pemimpin akar umbi, berjumpa dengan pihak yang berkaitan atau kepada saya sendiri” kata Robert yang juga Pembantu Menteri Kerja Raya.
Tambahnya, untuk makluman semua penduduk, kampung dan mukim dalam DUN ini juga dilayan secara saksama, tiada yang didahulukan dan tiada juga yang dipinggirkan atau dianaktirikan.
“Saya bekerja untuk rakyat, untuk memenuhi keperluan dan kemudahan yang rakyat perlukan. Harapan saya hanyalah agar segala usaha dan urusan dipermudahkan agar berjalan dengan lancar dan membuahkan hasil demi rakyat DUN Bingkor” jelasnya lagi.