Anggota Bomba dan Penyelamat melakukan pemantauan di sekitar bandar Kundasang dan Ranau berikutan gempa bumi pada Khamis
RANAU: Orang ramai di daerah ini terutama berhampiran kawasan Kundasang terkejut apabila gempa bumi berukuran 3.7 Magnitud menggegarkan daerah itu pagi Khamis.
Menurut MetMalaysia, gempa bumi lemah pada 7.13 pagi itu berlaku di koordinat 6.1° Utara dan 116.6° Timur, dengan jarak 13km Barat Laut Ranau dan dengan kedalaman 5 kilometer.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat daerah, Ridwan Bin Mohd Taib berkata setakat pagi Khamis, Jabatan Bomba dan Penyelamat tidak menerima sebarang aduan daripada orang ramai mengenai kerosakan bangunan atau kemusnahan harta benda.
Bagaimanapun, katanya, pihaknya juga telah melakukan pemantauan di sekitar pekan Kundasang dan Ranau dan setakat ini keadaan masih terkawal.
Ridwan menggesa orang ramai di sini supaya sentiasa mengingati langkah berjaga-jaga sekiranya gempa bumi lain berlaku pada masa hadapan dan mengutamakan keselamatan diri serta orang terdekat.
“Disarankan kepada penduduk Ranau khususnya di kawasan Kundasang supaya sentiasa berwaspada sekiranya berlaku gegaran, keluar dari kawasan struktur ke kawasan lapang, jangan panik dan laporkan kepada pihak bomba sekiranya berlaku kemusnahan. harta benda dan juga yang melibatkan nyawa,” katanya.
Ridwan turut menggesa orang ramai supaya segera melaporkan kepada Bomba Ranau (088-878779) sekiranya berlaku gempa bumi yang mengakibatkan kerosakan harta benda dan nyawa.
Insiden pada Khamis mengimbau kembali peristiwa yang menggegarkan seluruh negara pada 5 Jun 2015 di mana gempa bumi 6.0 skala Richter melanda Ranau, menyebabkan kematian 18 individu.