ADVERTISEMENTspot_img

“Gelombang baharu cuma gelombang kekecewaan” : Nizam

NIZAM

KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Datuk Haji Nizam DSP Haji Abu Bakar Titingan, menyifatkan kemasukan beberapa bekas pemimpin parti itu ke dalam Parti Warisan sebagai tidak lebih daripada “gelombang kekecewaan” dan bukannya kebangkitan politik baharu seperti yang digembar-gemburkan.

Menurut beliau, tindakan bekas Timbalan Ketua Bahagian PGRS Pitas, Datuk Harun Ismail, Ketua Penerangan PGRS Pantai Manis, Amri Abu Bakar, serta Ketua Bahagian LDP Tanjung Kapor, Datuk Peter Chin Kee Yong, menyertai Warisan hanyalah manifestasi rasa tidak puas hati segelintir individu yang kecewa kerana tidak mendapat jawatan dan kedudukan yang diidamkan dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Ini bukan gelombang baharu, ini gelombang kecewa. Ia datang daripada kumpulan kecil individu yang haus kuasa dan harta, bukan daripada semangat perjuangan rakyat Sabah,” tegas Nizam dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau turut mendedahkan bahawa ada antara mereka pernah secara peribadi meminta untuk menjadi calon dalam pilihan raya, malah mengugut akan keluar parti jika permintaan tersebut tidak dipenuhi.

“Rakyat Sabah tahu siapa mereka. Ketika berada dalam GRS, mereka senyap dan hanya menumpang hasil kerja orang lain. Tetapi apabila tidak lagi diberi kedudukan, mereka menukar haluan dan kononnya memperjuangkan rakyat. Inilah wajah politik lama yang rakyat sudah muak, politik tamak, ugutan dan dendam peribadi,” katanya.

Nizam menegaskan bahawa GRS di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, tidak akan tunduk kepada tekanan politik seperti itu dan akan terus berpaksikan perjuangan untuk rakyat, bukan untuk memenuhi kehendak individu tertentu.

“Jika inilah yang dimaksudkan dengan ‘gelombang baharu’ Warisan, maka ia sebenarnya gelombang kecewa, gelombang tertolak dan gelombang manusia yang sudah hilang arah,” ujarnya.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN