EWON (kanan) ketika menerima watikah sebagai calon Kadamaian
KOTA KINABALU: Gandingan calon muka baharu dan lama bagi parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) adalah gabungan mantap bagi membantu memastikan kemenangan Warisan Plus dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16, pada 26 Sept ini.
Naib Presiden UPKO Datuk Ewon Benedick berkata, kesemua calon UPKO yang diketengahkan masing-masing mempunyai kekuatan tersendiri untuk meraih undi dengan pelbagai latar belakang akademik.
“Saya yakin calon muda UPKO mempunyai cetusan idea baharu untuk sama-sama memajukan kawasan masing-masing dan juga Sabah secara keseluruhannya,” katanya selepas Majlis Pelancaran Visi dan Misi Warisan Plus dan Pengumuman Calon Warisan Plus PRN Sabah ke-16, di Pusat Konvensyen Antarabangsan Sabah (SICC), di sini, hari ini.
Ewon yang kekal bertanding bagi DUN N11 Kadamaian berharap rakyat Sabah dapat membuat pilihan bijak dan memberikan sokongan padu kepada calon-calon Warisan Plus bagi memastikan kesinambungan pembangunan di negeri ini.
UPKO turut mengetengahkan seorang wanita iaitu Timbalan Setiausaha Agung, Georgina L. George bagi calon N38 Paginatan.
Presiden UPKO, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau bertanding bagi kerusi DUN N15 Kiulu, Datuk Dr Lucas Umbul (N43 Kemabong), Setiausaha Agung Nelson W. Angang (N33 Kuala Penyu) dan Bendahari Agung Datuk Dr Laurentius Nayan Ambu yang juga merupakan bekas Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah bertanding bagi kerusi DUN N39 Tambunan).
Turut bertanding Ketua Pemuda UPKO Felix Joseph Saang bagi kerusi DUN N47 Telupid, Junsim Rumunzing (N2 Bengkoka); Padis Majingkin (N7 Tandek); Albert Aguir (N46 Nabawan), Dennis Tweening Rantau (N49 Labuk) dan Benson Inggam (N 57 Kuamut).