James menerima cenderhati disampaikan Dr Maria
KOTA KINABALU: Semua pihak khususnya anggota kesihatan di negeri ini diseru agar menggalas tanggungjawab memperluaskan kesedaran Sustainable Development Goals (SDG) ke seluruh negeri dan bersedia menghadapi pelbagai cabaran yang muncul.
Justeru, Menteri Pembangunan Masyarakat Dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR), merangkap Exco Kesihatan Negeri Sabah, Datuk James Ratib berkata, pendekatan yang berbeza diperlukan dalam memperkasakan SDG pada semua peringkat.
“Kearah itu, kita memerlukan Kajian dan data yang sahih adalah asas kepada perancangan dasar, penilaian intervensi dan penggunaan sumber yang efisien.
“Dalam usaha kita menepati matlamat pembangunan mampan atau SDGs, kita perlu memastikan setiap langkah yang diambil disokong oleh bukti yang kukuh,” katanya.
Menurut James, matlamat SDG seperti kesihatan yang baik dan kesejahteraan (SDG 3), air bersih dan sanitasi (SDG 6), pendidikan berkualiti (SDG 4) serta tindakan terhadap perubahan iklim (SDG 13) semuanya berkait rapat dengan kesihatan awam.
“Kita tidak boleh mencapai satu tanpa mempertimbangkan yang lain. Maka, pendekatan rentas sektor dan integrasi dasar adalah penting bagi menjamin masa depan yang lestari dan sihat untuk semua.
“Antara usaha yang dirancang dan dilaksanakan oleh pihak Kerajaan bagi menyokong SDG ialah melalui pendekatan Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) yang bertujuan menjadikan rakyat Malaysia Sihat Sejahtera melalui pembudayaan hidup sihat dan kelestarian persekitaran yang menyokong,” katanya.
Tambah beliau, ANMS adalah agenda yang telah dibuat penambahbaikan pada Rangka Kerja Malaysia Sihat dengan memasukkan aspek SDG mengambilkira Matlamat 3 (Kesihatan Yang Baik dan Kesejahteraan) dan Matlamat 11 (Bandar dan Komuniti Yang Mampan).
“Sebagai Kementerian yang bertanggungjawab ke atas kesihatan penduduk Negeri Sabah, KPMKR turut menyokong Inisiatif Liputan Kesihatan Sejagat dengan memastikan fasiliti kesihatan di negeri ini ditambahbaik agar setiap individu mempunyai akses kepada perkhidmatan kesihatan yang berkualiti.
“Dalam usaha untuk meningkatkan akses dan kualiti perkhidmatan kesihatan tanpa mengira latar belakang, bangsa dan agama, perkhidmatan kesihatan yang diberikan oleh KKM perlu bersifat tuntas.
“Saya berharap agar warga kerja JKNS lebih bersemangat dan bersedia untuk berhadapan dengan cabaran bidang kesihatan awam pada masa kini dan mendatang kerana ianya sangat kompleks,” katanya.
James yang juga ADUN Sugut berkata demikian semasa merasmikan Kolokium Kesihatan Awam Sabah Kali -17 Tahun 2025 yang diadakan di Hotel Hilton, Kota Kinabalu pada hari Rabu.
Tema sambutan itu pada kali ini ialah “Evidence-Driven Public Health: Aligning SDGS For A Sustainable And Healthier Future For All”.
Menurut beliau, Kolokium Kesihatan Awam merupakan platform penting untuk menilai pencapaian, berkongsi ilmu dan memperkukuh jaringan kerjasama dalam usaha mempertingkatkan sistem kesihatan awam di negeri Sabah.
“Sesungguhnya perhimpunan kita pada hari ini amat bermakna dan menjadi peristiwa penting dalam perjalanan kita ke arah masa depan yang mampan dan inklusif dengan SDG berperanan sebagai panduan kepada hala tuju kita.
“Tema kolokium pada hari ini iaitu “Evidence-Driven Public Health: Aligning SDGs for a Sustainable and Healthier Future for All” amat bertepatan dengan cabaran dan keperluan semasa.
“Dalam dunia yang semakin kompleks, pendekatan berasaskan bukti (evidence-driven) bukan lagi satu pilihan, malah suatu keperluan dalam membuat keputusan kesihatan awam yang berimpak tinggi,” katanya.
Sementara itu, James memberitahu bahawa dalam konteks pembangunan mampan dan kesihatan awam, salah satu cabaran utama yang sedang kita hadapi ialah fenomena populasi menua (ageing population).
Menurut beliau, Malaysia secara rasminya dijangka menjadi sebuah negara tua menjelang tahun 2030, apabila 15% daripada penduduk berumur 60 tahun ke atas.
“Di Sabah sendiri, kita juga menyaksikan peningkatan jumlah warga emas, hasil daripada peningkatan jangka hayat serta penurunan kadar kelahiran.
“Peralihan demografi ini menuntut perhatian serius dari segi perancangan perkhidmatan kesihatan, penjagaan jangka panjang, serta keperluan sosial dan sokongan komuniti,” kata beliau.
Beliau berharap melalui kolokium ini, semua pihak akan mendapat idea, inovasi dan strategi baharu dalam menangani cabaran kesihatan pada masa akan datang.
“Saya percaya, melalui kolokium ini, pelbagai hasil penyelidikan, amalan terbaik dan strategi inovatif akan dikongsikan oleh para ilmuwan, pengamal kesihatan awam serta agensi berkaitan.
“Semoga perkongsian ini akan memperkukuh asas ilmu kita dan menjadi pemangkin kepada tindakan yang lebih berkesan di peringkat negeri dan kebangsaan.
“Pada kesempatan ini, saya berharap agar setiap anggota kesihatan sentiasa memberi perkhidmatan yang terbaik dan profesional kepada semua rakyat tanpa mengira sebarang perbezaan yang wujud,” katanya.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada Ahli Jawatankuasa Induk, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah dan Pejabat Kesihatan Kawasan Tuaran selaku Ahli Jawatankuasa Pelaksana atas komitmen dan kesungguhan dalam menganjurkan Kolokium Kesihatan Awam Sabah Kali Ke-17 Tahun 2025 itu.
“Pada kesempatan ini juga, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak penganjur kerana berjaya menganjurkan program yang amat bermakna ini,” katanya.
Turut hadir, Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Dr. Maria Suleiman, wakil dari Universiti Malaysia Sabah, Prof. Dr. Helen Benedict Lasimbang, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Kolokium Kesihatan Awam Sabah Kali Ke-17, Dr. Pathman Arumugam, dan lain-lain.



