30 C
Kota Kinabalu
Jumaat, April 19, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

GAH-UMS anjur pertandingan mewarna dan melukis doodle sempena sambutan Hari Malaysia 2022

Peserta pertandingan sedang menyiapkan lukisan doodle

KOTA KINABALU – Galeri Azman Hashim Universiti Malaysia Sabah (GAH-UMS) berjaya menganjurkan Program Seni@GAH: Pertandingan Mewarna dan Melukis Doodle Sempena Sambutan Hari Malaysia 2022 bertempat di GAH-UMS baru-baru ini.

Bertemakan Apresiasi Hari Malaysia: Keluarga Malaysia Teguh Bersama, program ini bertujuan untuk mempertingkatkan semangat patriotik dan menyemai semangat kasih sayang serta kecintaan kepada negara.

Program ini telah mendapat penyertaan daripada Sekolah Kebangsaan Kolombong, Sekolah Menengah Kebangsaan Kimanis, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Gaya, University College Sabah Foundation (UCSF) dan Persatuan Seni Visual Sabah (PSVS).

Menurut Pengarah GAH-UMS, Dr. Mohammad Puad Bebit, program ini merupakan aktiviti pengisian sempena sambutan Hari Malaysia yang menjadi platform kepada peserta untuk mempersembahkan hasil karya dan menggalakkan peserta menghargai serta memperkasakan jati diri terhadap hasil karya yang bersifat patriotik.

Beliau berkata, program ini secara tidak langsung menjadi suatu sesi pertemuan antara pelukis seni doodle di Sabah.

“Pertandingan ini terbahagi kepada 3 kategori iaitu kategori khas mewarna poster bagi pelajar pendidikan khas SK Kolombong melibatkan seramai 44 pelajar.

“Bagi kategori A pula, seramai 30 pelajar tahap dua SK Kolombong terlibat yang dibahagikan kepada 10 kumpulan. Sementara kategori B, terbuka kepada penyertaan dari SMK Kimanis, IPG Kampus Gaya, UCSF dan PSVS melibatkan seramai 36 peserta yang dibahagikan kepada 9 kumpulan.

“Tempat pertama kategori khas dimenangi oleh Javier Moses John Charles, tempat kedua dimenangi oleh Nur Humaisarah Abdullah dan tempat ketiga, Noah Kevern Juvenil,” katanya ketika ditemui media sempena penyampaian hadiah kepada pemenang.

Katanya lagi, pemenang dalam kategori A melukis doodle (atas impraboard) dimenangi oleh kumpulan yang diketuai oleh Nuurul Hilmeeyah Mokhtar, tempat kedua kumpulan yang diketuai oleh Adeline Geneviev Vitalis dan tempat ketiga kumpulan diketuai Akifa Naila Mohd Husni.

Jelasnya, bagi kategori B pertandingan melukis doodle (atas blok papan) telah dimenangi kumpulan yang diketuai Nur Syafiqah Izati Nilman dan tempat kedua dimenangi oleh kumpulan yang diketuai Albright Liggahan dari SMK Kimanis, manakala tempat ketiga dimenangi kumpulan dari IPG Kampus Gaya yang diketuai Hamdi Sapirin.

Penilaian pertandingan dilakukan juri jemputan iaitu Dr. Junior Kimwah dan Dr. Lilian Lee Shiau Gee, kedua-duanya pensyarah di Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (ASTiF), UMS.

Semua pemenang menerima hadiah berbentuk wang tunai, hamper dan sijil penyertaan.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN