Victor menerima borang keahlian pada majlis itu.
TAMBUNAN: Seramai 1,000 orang dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambunan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).
Kemasukan beramai-ramai mereka ini diterima oleh Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Tambunan Datuk Victor P. Paut di Dewan Masyarakat Tambunan pada Sabtu.
Menurut Victor ahli-ahli baharu ini adalah terdiri daripada mereka yang belum menganggotai mana-mana parti sebelum ini dan selebihnya pernah menggangotai beberapa parti yang ada di kawasan Tambunan.
Katanya, kemasukan ahli-ahli baharu ke dalam Gagasan Rakyat Bahagian Tambunan ini merupakan satu lagi peristiwa penting dan bersejarah bagi daerah Tambunan khususnya bagi Gagasan Rakyat Bahagian ini.
“Saya merakamkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua ahli-ahli Gagasan Rakyat yang baharu kerana dapat menerima dan menghargai serta menghayati konsep dan falsafah perjuangan Gagasan Rakyat” katanya kepada media selepas majlis penyerahan borang keahlian ahli-ahli baharu itu.
Jelasnya, ini juga menandakan dan mencerminkan bahawa semangat dan perjuangan Gagasan Rakyat adalah murni dan berteraskan dengan kehendak serta aspirasi rakyat Tambunan.
Pada masa sama beliau mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua ahli-ahli baharu yang telah membuat pilihan yang tepat di mana Gagasan Rakyat merupakan parti yang terdiri daripada pelbagai kaum menyanjung tinggi persefahaman dan kesepaduan semua kaum di Sabah untuk bersama-sama memajukan Negeri Sabah menjadi sebuah negeri yang progresif dan maju ke arah memperkukuhkan lagi hubungan silaturahim, keharmonian dan perpaduan bagi mencapai misi, visi dan halatuju pembangunan Negeri Sabah yang lebih berdaya maju dan berdaya saing.
Victor turut mengucapkan tahniah dan syabas di atas inisiatif dan usaha “people engagement”, pihak urusetia yang terlibat terus dan bertanggungjawab menjadikan acara atau peristiwa ini suatu yang nyata dan realiti selaras dengan kempen atau hasrat kepimpinan Bahagian ini ke arah pencapaian sasaran 10,000 orang ahli Gagasan Rakyat Bahagian Tambunan.
Katanya, teristimewa kepada semua Ahli Jawatankuasa induk Gagasan Rakyat Bahagian Tambunan, semua ahli-ahli Bahagian Tambunan yang penuh komitmen menjayakan majlis bermakna ini.
“Kita akan memastikan bahawa kempen ini akan terus berjalan, diperkukuhkan dan akan berterusan untuk memastikan cita-cita dan objektif parti kita terlaksana dan tercapai dengan jayanya” katanya.
Victor memberitahu, setakat ini Gagasan Rakyat Bahagian Tambunan telah mencapai 6,000 keahlian.