Dr. Fary Akmal Osman
LABUAN: Penghantar makanan (Food Riders) dan Pemandu Industri Makanan serta penghantar makanan persendirian sepanjang bulan Ramadan perlu menjalani ujian kesihatan Covid 19 di Klinik Kesihatan kerajaan atau swasta serta berdaftar dengan Perbadanan Labuan (PL).
Pengerusi Jawatankuasa Bencana Wilayah Persekutuan Labuan, Dr. Fary Akmal Osman berkata, saringan itu diwajibkan bagi memastikan keselamatan semua pihak termasuk pelanggan yang menggunakan perkhidmatan itu terhindar daripada penularan wabak Covid 19.
Beliau berkata, selepas membuat saringan kesihatan mereka akan diberikan kad pengenalan (ID) oleh pihak Perbadanan Labuan bagi memudahkan mereka bergerak terutamanya ketika melalui sekatan jalan raya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Selain itu, mereka juga akan diberikan buku nota oleh Jabatan Kesihatan dan perlu membuat saringan setiap minggu serta perlu merekodkan perjalanan mereka setiap hari” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang akhbar di Bilik Mesyuarat Pusat Kawalan Operasi Bencana, di Wisma Perbadanan Labuan pada Selasa.
Dr Fary yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, saringan kasihatan dan pendaftaran itu perlu berikutan perkhidmatan tersebut dijangka akan meningkat sempena bulan Ramadan serta ia juga merupakan garis panduan yang telah ditetapkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan di laksanakan.
Sementara itu, Jabatan Kesihatan Labuan telah melaksanakan Program saringan terhadap Food Riders dan Pemandu Industri Makanan di Klinik Kesihatan Membedai selama tiga hari bermula 21 April 2020. –TAMAT