Oleh: Syed Mohamad Ashraf Bin Mokdin (gambar)
Jurulatih Kursus Kokurikulum Berkredit Baktisiswa Ek00303, Pusat Kokurikulum Dan Pemajuan Pelajar, Universiti Malaysia Sabah, Kota Kinabalu, Sabah (PKPPUMS)
FB: https://web.facebook.com/pkppumskk
Pandemik covid-19 yang telah mencetus gaya hidup normal baharu yang bersifat digital. Keadaan ini menyumbang kepada pelbagai isu sosioekonomi dalam kalangan masyarakat termasuk mahasiswa. Prihatin dengan keadaan tersebut mahasiswa kursus BAKTISISWA seksyen 2, Pusat Kokurikulum Dan Pemajuan Pelajar, Universiti Malaysia Sabah, Kampus Kota Kinabalu (PKPP UMS) telah mengambil inisiatif menganjurkan projek khidmat komuniti melalui program Mahasiswa Prihatin (SPRINT) dalam menyantuni warga UMS yang terejas.
Program SPRINT secara dalam talian yang dinamakan sebagai BAKTISISWA e-sport fund charity tournament mobile legends: bang-bang ini dilaksanakan pada semester 2 sesi 2020/2021 dengan mengetengahkan konsep ‘memanfaatkan hobi sambil beramal’, di mana projek mengumpul dana untuk ‘food bank’ mahasiswa UMS diwujudkan melalui penganjuran e-sport yang terbuka kepada semua mahasiswa Universiti Malaysia Sabah dan orang awam.
Mengapa mobile legends? Sesuai dengan ungkapan Ali Bin Abi Thalib “Didiklah anakmu sesuai zamannya kerana mereka tidak hidup di zamanmu”. Generasi muda masa kini sangat sinonim dengan e–sport mobile legends, oleh yang demikian cara terbaik mendekati dan memupuk jiwa prihatin golongan muda adalah melalui hobi mereka. Sebanyak 31 pasukan yang terdiri daripada 192 orang peserta termasuk 14 orang mahasiswa UMS dan 178 orang orang awam telah menjayakan program ini.
‘Food bank’ mahasiswa telah berjaya diwujudkan di kolej kediaman Tun Pangeran Ahmad Raffae UMS menggunakan dana terkumpul sebanyak RM1132.00. Dana tersebut telah disalurkan kepada kira-kira 300 orang mahasiswa UMS dalam bentuk makanan dan minuman serta beberapa barangan keperluan peribadi wanita. Pencapaian tersebut amat membanggakan kerana ini menunjukkan komitmen komuniti e–sport mobile legends terhadap program amal adalah menggalakkan.
Pewujudan ‘Food Bank’ walaupun secara one off ini menjadi landasan kepada pendedahan atau permulaan penglibatan mahasiswa kepada lebih banyak kerja amal pada masa akan datang. Ini juga secara tidak langsung akan menjana pengetahuan kemahiran kepemimpinan dan interpersonal dalam kalangan mahasiswa, terutama bagi mereka yang baru melangkah masuk ke alam universiti.
Manakala lebih banyak pertandingan e-sport boleh dianjurkan untuk menarik perhatian penggemar sukan ini melibatkan diri dan mengambil peduli terhadap keperluan masyarakat.