Dr. Nuraini (dua kiri) dan Ts. Hadzariah (tiga kanan) memerhatikan pensyarah menunjukkan inovasi pelajar FKI sempena Pameran dan Pertandingan Inovasi Teknologi Maklumat di Ruang Legar UMSKAL
LABUAN: Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI), Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) telah menganjurkan Pameran dan Pertandingan Inovasi Kluster Teknologi Maklumat (IT) yang diadakan di Bangunan Menara UMSKAL, baru baru ini.
Sebanyak 98 projek inovasi dipamerkan, melibatkan pelajar dari Program Komputeran Perniagaan di bawah penyelarasan Ts. Hadzariah Ismail dan Program Teknologi Multimedia di bawah penyelarasan Dr. Nuraini Jamil.
Dr. Nuraini berkata pameran itu bertujuan memupuk kreativiti dan inovasi dalam kalangan pelajar.
Pada masa sama, katanya, memperkenalkan hasil kerja mereka kepada orang awam dan industri.
Program ini juga berfungsi sebagai platform untuk membina rangkaian strategik antara universiti, masyarakat, dan industri.
Penganjuran selama dua hari ini membuktikan komitmen UMSKAL dalam menyokong pembangunan pendidikan teknologi di Wilayah Persekutuan Labuan.
Ia juga menjadi wadah untuk mencetuskan idea baharu bagi kemajuan masyarakat dan industri.
Seramai 43 pelajar dari Institut Latihan Perindustrian (ILP) dan 40 pelajar Kolej Matrikulasi Labuan (KML) turut hadir memeriahkan acara berkenaan.
Pengunjung berpeluang melihat pelbagai projek yang menggunakan teknologi terkini dalam penyelesaian perniagaan, multimedia dan aplikasi inovatif lain.
Sementara itu, Dekan Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI), UMS, Profesor Madya Ts Dr. Mohd Hanafi Ahmad Hijazi mengucapkan tahniah kepada semua pelajar yang terbabit dengan projek inovasi berkenaan.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada semua pensyarah dan kakitangan yang berusaha gigih memastikan program itu mencapai matlamatnya.
“Ini merupakan ruang dan peluang pelajar FKI mempamerkan projek inovasi kepada pengunjung dan warga UMSKAL sendiri,”katanya.
Poster Pameran dan Pertandingan Inovasi Teknologi Maklumat diadakan di Bilik Eureka dan Ruang Legar, Bangunan Menara UMSKAL dari pukul 9 pagi hingga 4 petang.