PELAJAR asnaf yang diraikan bergambar bersama tetamu khas pada majlis tersebut.
LABUAN: Seramai 40 pelajar asnaf dari Kompleks Darul Kifayah, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di sini diraikan dalam Majlis Iftar dan Penyampaian Sumbangan Raya anjuran Financial Park Labuan (FPL), pada Khamis.
Mereka yang juga merupakan anak yatim turut menerima duit raya dan biskut raya yang disampaikan oleh Lembaga Pengarah FPL, Nik Muhamad Din Nik Musa.
Hadir sama meraikan pelajar asnaf tersebut ialah Pengarah Urusan FPL, Nazrul Hisyam Mohd. Noh, Exco FPL, Nor Rashidi Mohammad dan Ketua Pegawai Eksekutif FPL, Johari Mesar
SERAH… Nik Muhamad menyerahkan sumbangan duit raya dan biskut raya kepada salah seorang pelajar asnaf sambil diperhatikan Nazrul Hisyam.
Sementara itu, Nik Muhamad ketika ditemui media berkata, majlis dan sumbangan tersebut adalah salah satu aktiviti tanggung jawab sosial korporat syarikat (CSR) tersebut yang diadakan setiap tahun.
“ Sumbangan ini adalah salah satu aktiviti CSR Syarikat FPL yang diadakan bukan sahaja pada bulan Ramadan tetapi di laksanakan sepanjang masa termasuklah membantu anak-anak asnaf menyediakan persiapan persekolahan dan juga membantu warga Labuan yang ditimpa musibah” katanya.