Feli Stacy (kedua kiri) dan para pemenang lain bergambar bersama Jonathan (tengah) dalam acara itu
RANAU: Feli Stacy Paimin muncul johan pertandingan akhir Sugandoi Kaamatan Peringkat Daerah Ranau 2024 yang diadakan di Dewan Masyarakat Ranau pada malam hari Isnin.
Dengan kemenangan tersebut, melayakkan beliau untuk mewakili daerah Ranau ke pertandingan akhir Sugandoi Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2024 yang diadakan di Dewan Hongkod Koisaan (KDCA) Penamang pada hujung bulan Mei nanti.
Sebagai johan, Feli Stacy membawa pulang hadiah berupa wang tunai sebanyak RM3,000, sebuah piala dan juga sijil.
Dalam pertandingan itu, Ain Fariesha Binti Azamain muncul sebagai naib johan, manakala Dave Albero Johumin di tempat ketiga, dan Khairul Nizman bin Burba memenangi kategori Persembahan Terbaik.
Ain Fariesha membawa pulang hadiah berupa wang tunai sebanyak RM2,000, sebuah piala dan juga sijil.
Dave Albero membawa pulang hadiah berupa wang tunai sebanyak RM1,000, sebuah piala dan juga sijil.
Saguhati sebanyak RM700 juga diberikan kepada para peserta lain, manakala Khairul Nizman juga mendapat hadiah Persembahan Terbaik sebanyak RM500.
Upacara pertandingan akhir Sugandoi Kaamatan Peringkat Daerah Ranau 2024 itu dirasmikan oleh Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin yang turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang.
Sementara itu, pada hari yang sama turut diadakan acara pertandingan akhir Sugandoi Dazanak dan juga Sugandoi Songkotoun Daerah Ranau 2024.

Para pemenang acara Sugandoi Songkotoun menunjukkan hadiah yang dimenangi mereka
Untuk acara Sugandoi Dazanak, Valley Dyana muncul sebagai johan, diikuti oleh Qahirah Maisarah Binti Syahlil (naib johan), Qistina Izz Zara Binti Roblin (tempat ketiga) dan Muhammad Aryan Hakim bin Azulmin (Persembahan Terbaik).
Dengan kemenangan itu, Valley Dyana membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM1,000, sebuah piala dan sijil.
Qahirah dan Qistina masing-masing mendapat hadiah wang tunai sebanyak RM800 dan RM500 beserta piala dan sijil, manakala Muhammad Aryan mendapat hadiah wang tunai sebanyak RM250.
Untuk acara Sugandoi Songkotoun, Guasi @ Aziz Yamou muncul sebagai johan, diikuti oleh Jiyein Binidi @ Christina (naib johan), Poli bin Jusi dan Kaimi Bin Watiman @ Jimmy Watiman (tempat ketiga) sementara Kaimi juga memenangi kategori Persembahan Terbaik.
Dengan kemenangan itu, Guasi dan Jiyein masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM1,000 dan Rm800, sebuah piala dan sijil.
Manakala Poli dan Kaimi masing-masing mendapat hadiah wang tunai sebanyak RM500 beserta piala dan sijil, sementara Kaimi turut mendapat hadiah wang tunai sebanyak RM250.
Dalam ucapannya, Jonathan mengucapkan Syabas dan tahniah kepada semua pemenang yang berjaya pada malam itu dan berharap agar mereka yang terpilih akan mengharumkan nama daerah ini ke peringkat yang lebih tinggi.
Beliau turut berterimakasih serta memuji usaha para pihak penganjur yang bertungkus lumus dalam menyediakan serta merealisasikan upacara tersebut dengan jayanya.
Turut hadir di majlis itu, Pegawai Daerah Ranau Tinus Manggam, Ketua Polis Daerah Ranau DSP Simiun Lomudin, Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Ranau Benedict Gunda dan lain-lain.