PERNAHKAH orang bertanya kepada anda, apa faedah anda memancing? Sejak dari dahulu hingga kini aktiviti memancing sememangnya telah menjadi kesukaan ramai orang. Bukan semata-mata hanya bertujuan untuk mencari lauk tetapi tanpa kita sedari sebenarnya banyak faedah yang kita perolehi daripada aktiviti ini. Di antaranya ialah untuk mengurangkan masalah stres.
Sejak kebelakangan ini, isu depresi atau kemurungan telah menjadi polemik dalam masyarakat. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan ketidaktentuan ekonomi disebabkan oleh pandemik telah menyebabkan kebanyakan masyarakat di seluruh dunia menghadapi tekanan dalam kehidupan terutamanya golongan remaja, belia dan pelajar.
Seperti yang diketahui umum, ‘depresi’ adalah berpunca daripada tekanan atau stres yang berpanjangan. Stres yang keterlaluan dan tiada kemampuan daya untuk bertindak dalam menghadapi sesuatu masalah.
Masalah ini berkaitan dengan tindak balas yang berlaku ke atas fizikal, emosi dan juga mental apabila terdapat desakan terhadap sesuatu perkara seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Semua orang yang mengamalkan berbagai cara gaya hidup akan mengalami stres atau tekanan. Misalnya semasa Perintah kawalan Pergerakan diperketatkan ramai yang terkongkong kerana tidak dapat menjalankan gaya hidup seperti sebelumnya. Apabila tidak terbendung ianya akan mengundang pelbagai masalah sosial, tekanan jiwa malah ada yang sanggup membunuh diri.
Bagi Judith Miki (salah seorang penggemar memancing), aktiviti memancing telah sebati dalam kehidupannya. Ianya telah dijadikan hobi sejak dari kecil hingga kini namun kehidupan dahulu dan kini jauh berbeza. Jika dahulu aktiviti memancing hanya untuk keseronokan, pada masa ini ia dijadikan salah satu caranya untuk mengurangkan tekanan akibat daripada perubahan kehidupan masa kini.
Memancing…salah satu cara mengurangkan stres.
Beliau bersyukur kerana aktiviti pertandingan memancing telah dibenarkan semula untuk dibuka kepada umum. Ini sudah tentu memberikan peluang kepada sesiapa sahaja yang berminat untuk menyertai pertandingan sama ada yang dianjurkan di peringkat dalam atau luar daerah.
Dalam satu pertandingan mamancing yang disertainya baru-baru ini, seramai 700 orang peserta yang datang dari berbagai daerah telah mengambil bahagian. Menurutnya penyertaan itu adalah yang paling ramai setakat yang pernah diikutinya sebelum ini. Sepanjang program berjalan, pihak penganjur sentiasa mengingatkan para peserta agar mematuhi Prosuder Operasi Satndard (SOP) yang telah disediakan.
Dalam pertandingan itu, pemenang johan berkumpulan yang berjaya memancing ikan seberat 14.100kg telah dimenangi oleh Kumpulan KHA (Kolam Haji Amin). Mereka membawa pulang hadiah RM8000 + RM4480 (Pecah tabung). Manakala Kumpulan MANTIS memenangi Tempat Kedua (12.410 kg / RM2000), diikuti Kumpulan KLT (Sahridi Ahdin) Tempat Ketiga (12.375kg / RM1000). Pertandingan tersebut telah dianjurkan oleh Rekreasi Joran Kolam Green View, Kg. Liau Darat Keningau.