26 C
Kota Kinabalu
Ahad, Januari 12, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Ewon Sedia Pertahan Kerusi DUN Kadamaian Dalam PRN Sabah ke-16

Ewon ketika berucap pada majlis itu.

KOTA BELUD: Naib Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick menyatakan kesediaan mempertahankan Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian sekiranya diberi peluang sekali lagi oleh pucuk pimpinan parti bertanding di kawasan itu.

Beliau yang menjadi wakil rakyat DUN Kadamaian selama sekitar dua tahun itu berkata, masih banyak perancangan pembangunan yang ingin beliau laksanakan di kawasan itu seperti yang terkandung dalam Pelan Induk Pembangunan Kadamaian.

Ewon, Malanjum dan Chong bergambar bersama para peserta seminar.

“Saya bersedia mengangkat cabaran yang akan diberikan oleh pucuk pimpinan sekiranya meminta saya untuk bertanding di DUN Kadamaian.

“Saya juga bersedia menggalas tanggungjawab yang diamanahkan berasaskan manifesto yang menjurus kepada usaha menjayakan Pelan Induk Pembangunan Kadamaian 2020-2035,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Seminar Memperkasa Undang-Undang Adat Anak Negeri di Dewan Kadamaian Square, di sini hari ini.

Ewon yang juga Ketua Bahagian UPKO Kota Belud berkata demikian ketika ditanya sama ada beliau akan mempertahankan kerusi DUN Kadmamaian pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 yang dijadulkan pada 26 September ini.

“Soal calon, saya percaya ketika ini, semua parti bukan sahaja parti yang mewakili kerajaan negeri dan parti yang membentuk kerajaan persekutuan tetapi juga parti-parti lain yang ingin bertanding pada PRN Sabah sedang merundingkan kawasan dan calon-calon mereka,” katanya.

Beliau berkata adalah tidak adil sekiranya perkhidmatan wakil-wakil rakyat selama dua tahun dibandingkan dengan mereka yang telah berkhidmat 5 hingga 15 tahun.

Mengenai seminar itu, Ewon berkata usaha memperkasakan Mahkamah Anak Negeri (MAN) atau institusi MAN Kota Belud adalah antara yang diberi fokus dalam Pelan induk Pembangunan Kadamaian yang telah dilancarkan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Shafie Apdal pada Januari lalu itu.

“Antara cadangan dalam pelan pembangunan itu ialah membina bangunan MAN di Kadamaian dan seterusnya memperkasakan urus tadbir undang-undang adat.

“Itu sebabnya pada hari ini kita mengadakan seminar dan mendengar banyak perkongsian daripada Tan Sri Richard Malanjum tentang bagaimana institusi MAN ini dapat diperkasakan.

“Saya fikir kita boleh gunakan pandangan-pandangan dan cadangan beliau untuk melengkapkan Pelan Induk Pembangunan Kadamaian dalam konteks institusi MAN,” katanya.

Ewon percaya penglibatan ketua-ketua adat dan pengerusi-pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dalam seminar itu memberi gambaran bahawa mereka memberi sokongan penuh kepada Pelan Induk Pembangunan Kadamaian dan inisiatif yang diusahakan.

“Saya amat yakin apabila kita menubuhkan semula kerajaan negeri Sabah di bawah pimpinan Datuk Seri Shafie, ini antara lain yang kita akan ambil inisiatif sehingga ia dapat dilaksanakan di DUN Kadamaian,” katanya.

Seminar itu dipengerusi oleh Ewon dan kertas kerja “Memperkasakan Undang-undang Adat Negeri Sabah” dan “Peranan Ketua-ketua Adat Dalam Menangani isu Pendatang Asing Tanpa Izin” di negeri Sabah disampaikan oleh Tan Sri Richard Malanjum dan Datuk Dr Chong Eng Leong.

Seminar seumpama itu yang julung kalinya diadakan di Kadamaian, disertai ketua-ketua adat, pengerusi-pengerusi MPKK dan pemimpin masyarakat.

Majlis penutupan seminar disempurnakan oleh Ahli Parlimen Kota Belud Isnaraissah Munirah Majilis. -End

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN