ADVERTISEMENTspot_img

Ewon sampaikan sumbangan RM200,000 untuk pembangunan Tadika Harmoni St Michael Penampang

Ewon (empat dari kanan) menyampaikan replika cek bernilai RM200,000 kepada Fr.Wilfred Atin.

PENAMPANG: Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick, menyampaikan sumbangan sebanyak RM200,000 bagi menyokong pembinaan kompleks baharu Tadika Harmoni di Paroki St Michael, Penampang.

Ewon menyampaikan sumbangan daripada peruntukan Sentuhan Kasih Menteri dan peruntukan Ahli Parlimen Penampang kepada Paderi Paroki St Michael, Fr Wilfred Atin, dalam kunjungan ringkas beliau, di pejabat paroki itu, di sini, hari ini.

“Semasa kunjungan Jawatankuasa Pembangunan Tadika Harmoni kepada saya sebelum ini, saya telah menyatakan komitmen saya untuk menyalurkan sumbangan dana daripada peruntukan saya.

“Justeru, saya menyampaikan sumbangan RM200,000 daripada peruntukan saya sebagai Menteri dan Ahli Parlimen kepada jawatankuasa tersebut hari ini sepertimana komitmen saya,” katanya.

Pada 20 Disember tahun lalu Ewon menyertai lawatan tinjauan ke tapak pembinaan Tadika Harmoni St Michael Penampang bagi melihat perkembangan kerja-kerja projek tersebut.

Projek pembinaan kompleks prasekolah itu yang dianggarkan menelan kos kira-kira RM9 juta sedang dilaksanakan hasil pungutan dana awam, namun masih memerlukan sokongan dana bagi memastikan projek itu dapat diteruskan dan disiapkan sepenuhnya.

Apabila siap kelak, bangunan yang direka dengan konsep landskap moden itu mampu menampung sehingga 500 murid.

Tadika Harmoni merupakan salah satu daripada dua tadika di bawah Paroki St Michael.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN