30 C
Kota Kinabalu
Sabtu, Julai 20, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Ewon Sambut Baik Usaha JMG Sabah Laksana Telaga Tiub

OLEH: MARRYAN RAZAN

KOTA MARUDU: Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Ewon Benedick menyambut baik usaha Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Sabah melaksanakan projek telaga tiub sebagai sumber bekalan air bersih alternatif kepada penduduk luar bandar dan pedalaman di negeri ini.
 
Beliau berharap melalui sokongan, kerjasama dan bantuan kepakaran berterusan daripada JMG Sabah, masalah bekalan air di perkampungan Mini Estate Sejahtera (MESEJ), Kampung Sejahtera  dan kampung-kampung di luar bandar dapat diselesaikan.
 
“KPLB Sabah telah menjalin kerjasama dengan JMG Sabah bagi mengenalpasti sumber-sumber air bawah tanah di kawasan luar bandar yang sering menghadapi masalah bekalan air termasuk di kawasan perkampungan Mesej dan Program Kampung Sejahtera.
 
“Ini kerana JMG mempunyai kepakaran dan teknologi hidrogeologi untuk mengenalpasti sumber air bawah tanah sebagai bekalan air bersih alternatif.
 
“Pada Ogos lalu, kita telah mengadakan mesyuarat pertama bersama JMG Sabah untuk menjemput mereka menjadi antara ahli baharu dalam Jawatankuasa Pemandu Mini Estate Sejahtera (MESEJ) dan setakat ini pihak JMG telah melaksanakan beberapa kajian sumber air bawah tanah di beberapa kawasan di Kota Belud dan Tenom,” katanya.
 
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan sempena Perasmian Program Pendidikan dan Kesedaran Awam Geosains 2019, di Dewan Komuniti Kota Marudu, di sini, hari ini.
 
Teks ucapannya disampaikan oleh Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Rasinin Koutis.
 
Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berharap JMG Sabah dapat memperluaskan usaha murni membina telaga tiub di kawasan luar bandar Sabah yang sering menghadapi masalah air selaras dengan usaha kerajaan menyediakan bekalan air bersih kepada semua perkampungan luar bandar di Sabah menjelang 2025.
 
Mengenai pembinaan Telaga Tiub dan Sistem Telga di Kampung Pompodon Kota Marudu, Ewon berkata, projek yang menelan belanja kira-kira RM120,000 itu akan memberi manfaat kepada seramai 200 penduduk kampung.
 
“Saya berharap, penduduk kampung dapat memanfaatkan dan menjaga sebaik-baiknya kemudahan telaga tiub di kampung ini,” katanya.Program Pendidikan dan Kesedaran Awam Geosains itu antaranya bertujuan untuk meningkatkan tahap kesiapsiagaan dan pendidikan komuniti setempat terhadap bencana geologi serta memberikan maklumat mengenai peranan jabatan dalam membantu meningkatkan kesejahteraan hidup penduduk kampung.

Rasinin memotong reben sebagai simbolik perasmian Telaga Tiub Kg.Pompodon Kota Marudu.

Program ini adalah kesinambungan daripada beberapa siri program kesedaran dan pendidikan awam yang dilaksanakan oleh JMG, sejak berlakunya gempa bumi pada tahun 2015.
 
JMG Sabah akan meneruskan program ini di beberapa daerah lain seperti Ranau dan Kota Belud yang lebih fokus kepada kesedaran terhadap bencana alam, khasnya bencana geologi.

Rasinin bergambar bersama penduduk kampung.

Turut hadir Menanggung Timbalan Pengarah (SM) JMG Sabah Webster Wong, Ketua Aktiviti Hidrogeologi Jaineh Lingi, pegawai-pegawai JMG Sabah, wakil Pejabat Daerah Kota Marudu dan pemimpin setempat.-TAMAT-

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN