30 C
Kota Kinabalu
Khamis, Januari 23, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Ewon “Permata” Buat Rakyat Kadamaian

KOTA BELUD: Pengundi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian senada mahu Wakil Rakyat Kadamaian sebelum ini Datuk Ewon Benedick terus kekal sebagai wakil rakyat kawasan itu.
 
Mereka berpendapat sepanjang tempoh dua tahun lebih menjadi wakil rakyat, banyak perubahan dibawa oleh pemimpin muda itu DUN Kadamaian.
 
Antaranya pembinaan Dewan Kadamaian Square di Taginambur yang kini menjadi antara tanda mercu Kadamaian, penaiktarafan jalan-jalan kampung ke jalan konkrit, jalan perhubungan desa, pembinaan dewan serbaguna, dewan terbuka, jambatan gantung, gimnasium rakyat, gelanggang sukan, laluan pelancongan komuniti, bangunan keusahawanan desa serta pelbagai lagi sumbangan untuk program ‘touchpoints’ dan gotong-royong.
 
Walaupun begitu, dalam tempoh dua tahun adalah mustahil semua keperluan rakyat Kadamaian dapat diselesaikan sekaligus, masih banyak impian rakyat Kadamaian perlu disediakan termasuk mendapatkan kemudahan infrastruktur asas berskala besar terutama penaiktarafan jalan raya ke jalan aspal.
 
Mereka juga yakin anak jati Kampung Kiau itu mampu membawa DUN Kadamaian ke peringkat yang lebih tinggi dari segi pembangunan luar bandar.
 
Kewibawaan Ewon sebagai pemimpin berjiwa rakyat, berpandangan jauh dan komited melaksanakan tanggungjawab, terserlah melalui program sumbangan kebajikan yang diperkenalkan khusus untuk setiap kelahiran dan sumbangan takziah di DUN itu.
 
Sejak program itu dimulakan pada Jun 2018 sehingga Julai 2020, sejumlah RM136,600 peruntukan telah dibelanjakan untuk tujuan itu.
 
Apa yang dilihat sebagai transformasi keadaan yang lebih baik bagi penduduk Kadamaian, Ewon menepati status anak jati yang sentiasa prihatin terhadap kepentingan rakyat apabila berjaya membawa peruntukan lebih RM18 juta bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan berskala kecil dan sederhana di Kadamaian dalam tempoh dua tahun.
 
Berdasarkan pencapaian cemerlang dalam tempoh sesingkat itu, penduduk Kadamaian tidak rela membiarkan khidmat memberangsangkan itu terhenti begitu sahaja, malah ada yang menganggap Ewon sebagai ‘sebutir permata’ yang tidak ternilai buat warga Kadamaian.
 
Sentuhan Ewon yang mudah didampingi penduduk kampung menjadikan beliau antara wakil rakyat kesayangan warga Kadamaian.
 
Bagi mereka, Ewon merupakan pilihan terbaik untuk diberi peranan sekali lagi sebagai wakil rakyat pada pilihan raya ini kerana ternyata beliau bukan sahaja rajin ‘turun padang’ melawat kampung tetapi juga sentiasa mendengar keluhan rakyat di peringkat akar umbi.
 
Seorang Aktivis Masyarakat Dr.Rizoh Bosorong berkata, Ewon mempunyai kelebihan tersendiri dari segi rekod pencapaian pembangunan.
 
“Berdasarkan prestasinya sebagai Menteri dan Adun Kadamaian dalam tempoh dua tahun lebih, beliau bukan sahaja berjaya mengemudi Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) tetapi juga berjaya membawa banyak pembangunan di kawasan Kadamaian,” katanya.
 
Dr.Rizoh yang turut terlibat menjayakan kajian Pelan Induk Pembangunan Kadamaian memuji Ewon atas kejayaan merealisasikan impian penduduk Kadamaian menghasilkan Pelan Induk Pembangunan Kadamaian (2020-2035) yang telah dilancarkan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal awal tahun ini dan kini menjadi dokumen kerajaan penting memajukan Kadamaian.
 
“Pelan pembangunan itu akan menjadi panduan kepada semua kementerian, agensi dan jabatan kerajaan untuk membawa pembangunan yang lebih pesat di kawasan luar bandar khususnya Kadamaian,” katanya.
 
Beliau berkata, kajian itu dilaksanakan oleh Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah dengan kerjasama Pejabat Daerah Kota Belud, Pejabat UPPM Kadamaian dan Perhubungan ADUN Kadamaian, selama enam bulan bermula Julai 2019 melibatkan kesemua 74 buah kampung di Kadamaian dengan peruntukan ‘touchpoints’ ADUN sebanyak RM70,000.
 
“Pelan ini merupakan antara wawasan Ewon untuk membangunkan Kadamaian berasaskan kepada dua sektor ekonomi utama iaitu pertanian dan pelancongan.
 
“Kedua-kedua sektor tersebut harus disokong dengan kemudahan infrastruktur asas yang lebih baik atau dinaiktaraf (jalan raya aspal/konkrit, bekalan elektrik, air dan telekomunikasi) serta rangkaian kemudahan keusahawan desa,” katanya.
 
Dr.Rizoh yang juga Pengerusi Badan Pelancongan Komuniti Sayap berkata, dari segi pelancongan banyak projek pembangunan berkaitan pelancongan dilaksanakan selain sumbangan-sumbangan touchpoints kepada persatuan dan pusat-pusat pelancongan Kadamaian dalam tempoh dua tahun.
 
“Di Mukim Sayap sahaja, antara projek pembangunan berkaitan pelancongan ialah membina jalan ke pelancongan Kg.Terintidon, penaiktarafan jalan ke pelancongan Terintidon serta pembinaan pondok dan laluan pelancongan bertangga Kg.Sayap.
 
“Selain itu, kampung-kampung lain turut menerima pembangunan yang sama antaranya di Kampung Gonok dan Kg.Lahanas yang kini mempunyai Pondok Budaya, Kg.Talungan (Balai Budaya dan Pelancongan), penaiktarafan Jalan Pelancongan Kg.Tegudon, pusat pelancongan 3V Kg Nahaba, Kg.Melangkap Tiong, Polumpung dan pembinaan pondok serta laluan pelancongan bertangga di Kg.Kiau.
 
Dari segi pembangunan keusahawanan pula, Dr.Rizoh berkata, dalam tempoh dua tahun, empat bangunan keusahawanan dibangunkan di kawasan Kadamaian iaitu Bangunan Keusahawanan (Madu Kelulut) Kg Pinolobuh, Bangunan Keusahawanan Desa Kg.Sayap, Bangunan Keusahawanan Desa Kg Kiau dan Bengkel Keusahawanan Desa (Jahitan Pakaian Tradisional) di Kg.Kelawat Pekan.
 
“Datuk Ewon begitu prihatin dan sentiasa menyokong usahawan-usahawan luar bandar khususnya di Kadamaian. Selain bengkel keusahawanan, projek pembangunan lain berkaitan keusahawanan ialah menimbus kawasan tapak kompleks keusahawanan desa Kadamaian, membina bangunan gerai keusahawanan tamu Kg.Lompios, menaiktaraf kawasan tamu Taginambur dan membaikpulih atap gerai Tamu Piasau,” katanya.

Dr. Rizoh

Sementara itu, seorang lagi pengundi DUN Kadamaian Sanial Angkat berkata, Ewon seorang pemimpin muda yang berpandangan jauh untuk memajukan Kadamaian, berpelajaran, rendah hati dan berjiwa rakyat.
 
“Bagi saya beliau seorang pemimpin muda yang berpandangan jauh dan amat komited terhadap tugas sebagai wakil rakyat. Beliau juga seorang yang rendah hati, berjiwa rakyat dan memahami keadaan sosial di Kadamaian kerana beliau juga pernah mengalami situasi yang sama. Sepanjang mukadima ucapan-ucapannya kepada rakyat, selalu mencuit hati mereka dengan perkongsian hidup semasa kecil dan tidak ada yang tersembunyi.
 
“Dia boleh bergaul dengan semua lapisan masyarakat dan seorang pemimpin yang sangat disenangi dan menjadi pakar rujuk kepada masyarakat, untuk itu saya menyokong kepimpinan beliau dan beliau perlu dikekalkan sebagai wakil rakyat di Kadamaian,” katanya.
 
Sanial yang juga seorang pastor berkata, dari segi sumbangan keagamaan dalam dua tahun perkhidmatan Datuk Ewon sebagai wakil rakyat, banyak perancangan dilaksanakan untuk memenuhi keperluan keagamaan bukan sahaja untuk gereja tetapi untuk non-kristian.
 
“Ini termasuk sumbangan untuk Masjid dan Surau berjumlah lebih RM120,000 manakala untuk Majlis Gereja-Gereja Kadamaian dan gereja kawasan itu menerima sekitar RM200,000 dalam tempoh dua tahun.
 
“Beliau telah menggunakan tempoh itu sebaiknya untuk memenuhi keperluan rakyat kawasannya. Bagaimanapun tempoh dua tahun yang singkat ini, siapa yang dapat memenuhi semua keperluan masyarakat Kadamaian? Ini adalah mustahil kerana ia bergantung kepada peruntukan yang terhad, tetapi Datuk Ewon melihat keperluan ini sebagai satu parioritinya dalam tempoh itu.
 
“Tidak ada seorang pemimpin terdahulu yang dapat memenuhi atau melaksanakan keperluan-keperluan sedemikian banyak dalam tempoh yang singkat.
 
“Secara peribadi, apabila melihat perkembangan politik di Kadamaian, pada saya dalam dua tahun ini, beliau telah melakukan banyak perkara termasuk membantu, memenuhi, melulus dan melaksanakan keperluan-keperluan rakyat Kadamaian,” katanya.
 
Beliau berkata, perancangan tiga tahun seterusnya sudah termaktub dalam buku Pelan Induk Pembangunan Kadamaian sehingga 2035.

Sanial


Pengerusi Persatuan Penanam dan Pengusaha Lada Hitam (PLAS) Kota Belud Janus Tioon berterima kasih kepada Datuk Ewon atas sokongan memudahcara mendapatkan sumbangan dana daripada TERAJU dan Yayasan Sabah untuk membina Kilang Lada Hitam di Kg.Lompios.
 
“Pada tahun 2017, sebelum beliau (Ewon) menjadi wakil rakyat Kadamaian, beliau telah sumbangkan bibit lada hitam untuk ditanam secara berkolompok di kawasan Kg.Lompios.
 
“Sebenarnya bibit itu diserahkan kepada saya untuk diusahakan tetapi saya mengagih-agihkannya kepada lima kumpulan penduduk kampung Lompios untuk sama-sama belajar.
 
“Setiap kumpulan menerima 50 bibit dan disitulah kami belajar bagaimana mengusahakan lada hitam dan sekarang kami semua mempunyai kebun lada hitam sendiri dengan tanaman lebih 1,000 pokok,” katanya.
 
Janus berkata, pada tahun ini, mereka sekali lagi menerima sumbangan bibit lada hitam sebanyak 1,000 pokok daripada Ewon memandangkan semakin ramai yang berminat untuk mengusahakan lada hitam di kampung itu.

Selain itu katanya, pelbagai projek pembangunan telah dilaksanakan di kampung itu dalam tempoh dua tahun ini, antaranya penaiktarafan jalan ke jalan konkrit sumbangan RM5,000 untuk menceriakan kawasan Taman Tamu Lompios, penaiktarafan jalan pelancongan dan banyak lagi.
 
“Saya percaya jika datuk diberi mandat menerajui kepimpinan Kadamaian bukan sahaja Kg.Lompios yang mendapat impak tetapi seluruh Kadamaian akan merasai pembangunan daripada usaha beliau,” katanya.

Janus

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN