Ewon
KOTA KINABALU,: Presiden Upko, Datuk Ewon Benedick menegaskan beliau tidak pernah memperdaya pengundi, sebaliknya komited memastikan agenda ‘Sabah First’ terus menjadi landasan perjuangan parti itu meskipun Upko kini bersama membentuk kerajaan negeri yang turut disertai parti-parti nasional.
Ewon menerima kritikan selepas mengumumkan sokongan Upko kepada gabungan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Plus yang dipimpin Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan merangkumi GRS, Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) serta Upko. Kritikan itu antaranya menyatakan langkah tersebut bertentangan dengan kempen Upko yang menekankan barisan politik berteraskan Sabah.
Situasi politik baharu itu turut menyaksikan Upko kembali bekerjasama dengan PH dan BN, dua gabungan yang pernah ditinggalkan parti tersebut sebelum ini susulan isu kontroversi berkaitan hak hasil 40 peratus Sabah.
Ewon yang telah mengangkat sumpah sebagai Timbalan Ketua Menteri berkata beliau memahami keresahan sebahagian rakyat Sabah, namun menegaskan pendirian ‘Sabah First’ kekal bertujuan menuntut pelaksanaan hak hasil 40 peratus serta hak perlembagaan negeri yang lebih luas. Menurutnya, matlamat itu masih boleh dicapai dalam konteks kerajaan perpaduan negeri.
“Saya serahkan kepada rakyat untuk menilai kepimpinan saya selepas lima tahun. Sabah First saya adalah untuk mengejar hak 40 peratus dan hak Sabah
“Kerajaan sudah dibentuk dan kini kebijaksanaan berada pada ketua menteri. Kita boleh mengejar 40 peratus dalam kerajaan perpaduan,” katanya, hari ini merujuk keputusan Mahkamah Tinggi yang mengarahkan penyelesaian ‘tahun-tahun yang hilang’ dalam tempoh 180 hari.
Semasa kempen pilihan raya, Ewon beberapa kali memberi amaran bahawa Sabah berisiko kehilangan kekuatan tawar-menawar terhadap hak 40 peratus sekiranya kerajaan negeri diterajui pemimpin parti kebangsaan yang perlu merujuk kepada presiden parti di Semenanjung. Beliau berpendapat keadaan itu hanya akan melambatkan rundingan dan melemahkan kedudukan Sabah.
Sebelum ini, Ewon meletakkan jawatan sebagai menteri persekutuan sebagai tanda protes selepas meneliti penghakiman Mahkamah Tinggi dan hujah Jabatan Peguam Negara yang menurutnya bercanggah dengan jaminan perlembagaan Sabah. Beliau kemudian menarik Upko keluar daripada PH.
Namun, beliau menegaskan kedudukan Sabah kini lebih kukuh dalam kerajaan negeri memandangkan majoriti komponennya terdiri daripada parti-parti tempatan.
“Parti-parti nasional hanya mempunyai dua menteri. Dalam erti kata lain, kami sebagai parti tempatan adalah majoriti dalam membuat keputusan. Komposisi ini jauh lebih baik berbanding kerajaan sebelumnya,” katanya.
Dua menteri daripada parti nasional ialah ADUN PKR, Jamawi Jaafar selaku Menteri Pertanian dan ADUN Umno, Datuk Jafry Ariffin sebagai Menteri Pelancongan.
Ewon, yang turut memegang portfolio Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, berkata dominasi parti tempatan memberi ruang lebih kuat kepada Sabah untuk berunding mengenai pelaksanaan hak 40 peratus berdasarkan Perkara 112C dan Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan.
Beliau yakin pengalaman tiga tahun sebagai menteri persekutuan akan membantu kerajaan negeri memperkukuhkan hujah dalam rundingan bersama kerajaan pusat.
“Datang dari Upko dan setelah berkhidmat di peringkat persekutuan, saya telah melihat bagaimana kerajaan pusat melihat isu 40 peratus. Pengalaman itu akan membantu Sabah bertegas dalam perbincangan,” katanya.



