30 C
Kota Kinabalu
Rabu, April 23, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Ewon hargai peranan semua warga kerja agensi KUSKOP bangunkan sektor keusahawanan dan koperasi

SANDAKAN: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick menyampaikan penghargaan beliau kepada semua warga kerja agensi-agensi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) di dalam membangunkan sektor keusahawanan dan koperasi negara.

Beliau menyatakan perkhidmatan terbaik oleh semua warga kerja dapat memastikan sektor keusahawanan dan koperasi terus menyumbang kepada aktiviti ekonomi negara termasuk peluang pekerjaan kepada rakyat.

Beliau menyatakan demikian semasa berucap dalam majlis perjumpaan dengan warga kerja agensi-agensi KUSKOP yang mempunyai pejabat perkhidmatan di Sandakan, di sini, hari ini.

Agensi-agensi tersebut ialah Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Bank Rakyat, TEKUN Nasional dan Amanah Ikhtiar Malaysia.

Turut sama hadir dalam perjumpaan tersebut ialah Institut Koperasi Malaysia, ANGKASA Sabah dan Coopbank Pertama.

“Dalam lawatan kerja ke daerah-daerah, selalunya saya memenuhi undangan koperasi dan usahawan serta tugasan parti. Jarang ada kesempatan berjumpa dalam pertemuan khas dengan warga kerja agensi-agensi KUSKOP di daerah.

“Justeru, sempena sambutan bulan Syawal, saya memilih mengadakan pertemuan khas serta jamuan bersama dengan warga kerja agensi-agensi untuk menyatakan penghargaan saya di atas khidmat terbaik yang diberikan kepada pemegang taruh dan pelanggan agensi masing-masing.

“Dalam tempoh dua tahun, saya sangat jarang menerima aduan bahawa kakitangan kementerian tidak memberi layanan dan bimbingan. Sebaliknya saya menerima penghargaan daripada rakyat mengenai layanan agensi-agensi kepada usahawan-usahawan PMKS dan koperasi di Sabah, termasuk di Sandakan,” katanya.

Ewon turut menyatakan harapan agar pembiayaan yang lebih besar dapat disalurkan kepada ushawan-usahawan dan koperasi-koperasi di Sabah.

“Pada tahun 2024, agensi-agensi KUSKOP telah menyalurkan pembiayaan sebanyak RM9.577 bilion kepada 333,625 usahawan PMKS dan koperasi. Daripada jumlah itu, sebanyak RM813.4 juta disalurkan kepada 53,398 usahawan PMKS dan koperasi di Sabah.

“Sabah yang selama ini dikenali dengan daerah-daerah termiskin boleh dibangunkan melalui gerakan keusahawanan dan koperasi. Justeru, saya berharap kita di KUSKOP dan agensi-agensi dapat memberikan yang terbaik untuk membangunkan Sabah,” katanya.

Turut sama dalam perjumpaan tersebut ialah Pengarah SKM Sabah Haji Efendee OP Andu dan Pengarah IKMA Sabah Mohd Razalie Raffae.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN