Ewon (kanan) bersama calon-calon lain yang bertanding bagi DUN Kadamaian.
KOTA BELUD: Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16, bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian menyaksikan persaingan enam penjuru.
Penyandang DUN Kadamaian yang juga Naib Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick, berdepan saingan dari calon Parti Cinta Sabah (PCS), Part Bersatu Sabah (PBS), Parti Bersatu Rakyat Sabah (BN-PBRS), Parti Liberal Demokratik (LDP) dan calon Bebas.
Ketua UPKO Kota Belud itu berkata, pertembungan enam penjuru itu membuktikan proses demokrasi diamalkan dengan baik di negara ini.
“Ini menunjukkan ramai pemimpin di DUN Kadamaian mahu mengetengahkan kepemimpinan mereka dan ingin berkhidmat kepada rakyat.
“Saya melihat pertembungan enam
penjuru ini adalah satu yang positif dan pertandingan yang sihat.
Ewon menuju ke pusat penamaan calon.
“Mereka semua adalah kawan dan kami saling mengenali. Saya fikir rakyat Kadamaian akan memilih yang terbaik daripada semua yang baik ini,” katanya ketika ditemui selepas penamaan calon DUN Kadamaian di Dewan Tun Said di sini, hari ini.
Ewon yang juga bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, berkata kempennya akan bermula hari ini hingga tengah malam, 25 September ini.
“Saya mengalu-alukan kempen yang positif dalam suasana yang bersih…elakkan perkara yang boleh membawa kita kepada sesuatu yang tidak baik. Saya yakin kita boleh melaksanakannya,” katanya.
Selain Ewon, calon-calon lain yang bertanding merebut kerusi DUN Kadamaian ialah Dr Beting Giling @ Josh (PCS); Demis Rumanti (PBS); Duanis Mogirong (PBRS); Raiting @ Mohd Farhan (Bebas) dan Leduning Lengik @ Ernest (LDP).
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Ewon memenangi DUN itu atas tiket BN, selepas menewaskan empat calon lain iaitu Rubbin Guribah calon Parti Solidariti Tanah Airku (STAR); Lukia Indan (PKR), Satail Majungkat (Pas) dan calon Parti Cinta Sabah (PCS) Mail Balinu.
UPKO adalah rakan sekutu Parti Warisan Sabah (WARISAN) atau dikenali sebagai WARISAN Plus, selain DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (AMANAH).