27 C
Kota Kinabalu
Ahad, Mac 16, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Ewon Cadang Bangunan MAN Diwujudkan Di Kota Belud

Cadangan pengwujudan MAN Kota Belud adalah antara perkara penting yang kita masukkan dalam Pelan Pembangunan Kadamaian 2020-2035 yang dilancarkan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal sempena Rumah Terbuka Krismas dan Tahun Baharu DUN Kadamaian baru-baru ini,”

-Ewon Benedick-

OLEH: MARRYAN RAZAN

KOTA BELUD: Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Ewon Benedick mencadangkan agar sebuah bangunan Mahkamah Anak Negeri (MAN) diwujudkan di Kota Belud bagi memberi keselesaan kepada orang ramai yang menggunakan khidmat mahkamah itu.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, tapak untuk tujuan pembinaan bangunan itu telahpun dikenalpasti di Kadamaian dan berharap ia dapat dilaksanakan dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) tahun 2021-2025.

Ewon bergambar bersama juara pertandingan itu.

“Cadangan pengwujudan MAN Kota Belud adalah antara perkara penting yang kita masukkan dalam Pelan Pembangunan Kadamaian 2020-2035 yang dilancarkan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal sempena Rumah Terbuka Krismas dan Tahun Baharu DUN Kadamaian baru-baru ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian hadiah Pertandingan Bola Sepak Piala Ketua Daerah N7 Kadamaian di Pejabat Adun Kadamaian Kg.Piasau, di sini, pada kelmarin.

Pertandingan yang julung kalinya diadakan itu disertai empat pasukan dengan jumlah penyertaan hampir 100 orang yang terdiri daripada ketua-ketua adat DUN Kadamaian dan ketua-ketua Kampung.

Ewon bergambar bersama pasukannya sebelum perlawanan bermula.

Mengenai pertandingan itu Ewon berharap ia dapat diteruskan pada masa akan datang bagi mengeratkan lagi hubungan silaturahim dan kerjasama antara semua ketua-ketua adat DUN Kadamaian.

Turut hadir Ketua Daerah OKK Jaintin Molondoi, PPM Kadamaian Saikom Watis, Setiausaha Perhubungan Awam Menteri Charles Dalansing, Setiausaha Politik Carlye Lajimin dan Setiausaha Sulit Arron Guramon.

Ewon turut mengambil bahagian dalam pertandingan itu.

Tempat pertama dimenangi Pasukan Zon 3 mewakili PDM Taginambur, Tamu Darat, Gaur dan Narinang, tempat kedua zon 4 (PDM Lobong-Lobong, Kaung, Kiau dan Melangkap), tempat ketiga Pasukan Zon 2 (PDM Lasau Podi, Tongkurus, Sayap dan Nahaba) dan tempat keempat Zon 1 mewakili PDM Kelawat, Kinasaraban, Tambulion dan Piasau.

Pertandingan bola sepak yang berlangsung selama dua hari itu diadakan di Padang SK Piasau. Juara menerima hadiah sebuah Piala Pusingan Ketua Daerah. Kesemua pemenang masing-masing menerima piala dan baju jersi.

Pada majlis itu Ewon turut menyampaikan sumbangan sejumlah RM13,000 iaitu RM3,000 untuk sumbangan hadiah pertandingan dan RM10,000 untuk aktiviti-aktiviti kebajikan dan rekreasi ketua-ketua adat DUN Kadamaian dibawah peruntukan touchpoints Adun Kadamaian bagi tahun 2020. -TAMAT-

Ewon bergambar bersama semua pasukan yang menyertai pertandingan itu.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN