Zafri (dua kanan) secara simbolik menyerahkan projek bekalan air bersih yang telah siap kepada penduduk kampung di Kg Togop Darat, sambil Zawahir dan yang lain melihat.
RANAU: Etiqa telah melancarkan Projek Air Bersih Etiqa untuk kemudahan lebih 500 orang penduduk di Kampung Togop Darat, Ranau dengan kerjasama Islamic Aid Malaysia (IAM), hari ini.
Program tanggungjawab sosial Korporat Etiqa ini bertujuan untuk membantu meringankan beban penduduk setempat bagi mendapatkan bekalan air bersih terawat secara berterusan sepanjang tahun.
Projek yang bermula sejak Disember 2023 ini dibiaya sepenuhnya oleh Etiqa dan dilaksanakan dengan kerjasama IAM.
Selama dua dekad, penduduk Kampung Togop Darat telah memperoleh bekalan air dari bukit melalui anak sungai yang berdekatan dengan menggunakan sistem air graviti yang mereka bangunkan sendiri.
Namun, cabaran utama yang dihadapi oleh komuniti ini adalah kekurangan bekalan air yang disebabkan oleh penambahan jumlah rumah dan penduduk setempat. Akibatnya, bekalan air yang tersedia hanya mencukupi untuk sepertiga dari jumlah rumah di kampung tersebut.
Selain itu, tekanan air dari tadahan air dan sungai yang terlalu rendah, terutamanya ketika musim kemarau menyebabkan banyak penduduk kampung tidak dapat memperoleh bekalan air yang mencukupi untuk menjalani kehidupan harian dengan selesa.
Keadaan ini bertambah buruk apabila paip utama mereka yang diperbuat daripada Polivinil Klorida (PVC) dan Polipropilena (PP) telah uzur serta sering bocor, mengurangkan lagi jumlah dan tekanan air yang disalurkan kepada penduduk.
Majlis Perasmian dan Penyerahan Projek Air Bersih Etiqa ini telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Etiqa Family Takaful Berhad, Encik Zafri Ab. Halim. Turut hadir menyaksikan majlis tersebut ialah Ketua Pegawai Strategi, Etiqa Insurance & Takaful, En. Chris Eng, Pengarah Wilayah Sabah, Etiqa Insurance & Takaful, Encik Aldo Kok dan Presiden Islamic Aid Malaysia (IAM) Encik Zawahir Abdullah. Majlis ini telah diadakan di Dewan Komuniti Kampung Togop Darat dan dimeriahkan dengan kehadiran penduduk setempat.
Melalui pelaksanaan projek ini, beberapa peningkatan telah dilakukan pada sistem sambungan paip untuk memastikan kualiti air yang lebih baik. Ini termasuk pemasangan satu unit tangki air berkapasiti 1000 gelen serta pembinaan rumah pam yang dilengkapi dengan sistem ‘penapisan air membran’. Langkah-langkah ini diambil untuk menjaminkan air yang disalurkan ke kampung tidak tercemar dan benar-benar bersih.

Zafri, Zawahir, tetamu kehormat lain serta sebahagian penduduk kampung di sini bergambar beramai-ramai di hadapan pengambilan air bersih yang baru siap di Kg Togop Darat
Projek ini turut melibatkan penyertaan penduduk kampung serta sukarelawan dari Etiqa & IAM secara bergotong royong ketika menambah baik sistem perpaipan (piping) sepanjang hampir 8km ini.
Selain daripada rumah penduduk, air terawat ini juga disalurkan kepada struktur-struktur komuniti serta rumah-rumah ibadat di Kampung Togop Darat. Kaedah ‘Sistem Air Graviti’ yang dibangunkan melalui projek ini menjimatkan kos kerana tidak memerlukan tenaga elektrik untuk mengepam air ke tangki simpanan. Oleh itu, selain dapat menikmati bekalan air bersih secara berterusan sepanjang tahun.
Zafri Ab. Halim, Ketua Pegawai Eksekutif Etiqa Family Takaful Berhad berkata, “Kami amat berbesar hati kerana dapat merealisasikan usaha murni ini dengan kerjasama IAM. Melalui projek ini, penduduk kampung dapat menikmati bekalan air terawat dan melangsungkan aktiviti harian mereka dengan tenang dan bebas daripada pencemaran air.
Selari dengan visi kami untuk menjadikan dunia ini sebuah tempat yang lebih baik, atau Making The World a Better Place, projek yang berjaya dilaksanakan ini merupakan satu lagi bukti keperihatinan Etiqa dalam meningkatkan mutu kehidupan, sosial dan ekonomi masyarakat yang memerlukan bantuan dengan program tanggungjawab sosial korporat kami dibawah slogan ‘Etiqa Cares’,” tambahnya lagi.
Menurut Zawahir Abdullah, Presiden Islamic Aid Malaysia, “Sebagai sebuah badan NGO, Islamic Aid Malaysia (IAM) memainkan peranan sebagai pengantara di antara individu mahu pun golongan korporat yang berhajat untuk melaksanakan usaha-usaha kemanusiaan dalam membantu golongan yang memerlukan.
“Kami berbesar hati kerana berpeluang untuk bekerjasama dengan Etiqa untuk melaksanakan satu projek yang amat bermakna dan berguna kepada penduduk di sini. Projek ini merupakan satu lagi bukti keprihatinan Etiqa untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat luarbandar.
“Saya yakin usaha yang dilakukan oleh pihak Etiqa amat memberi kesan positif dan bermakna buat penduduk kampung ini apatah lagi mereka bakal menikmati sumber air yang bersih, Projek Air Bersih Untuk Komuniti ini telah bermula sejak hujung November yang lalu dan ia telah dapat disiapkan sepenuhnya pada hari ini.
Saya amat berbangga kerana penduduk disini amat bersatu hati bergotong-royong walaupun mempunyai pegangan agama yang berbeza dan mempunyai semangat kerjasama bagi menjayakan projek ini dan menyiapkannya mengikut tempoh masa yang telah di tetapkan,” katanya lagi.