Supt. Muhamad Farid Ahmad…. tindakan tegas akan di ambil terhadap mereka yang ingkar perintah.
LABUAN: Empat individu termasuk pasangan suami isteri warga asing ditahan polis pada Rabu kerana mengingkari Perintah Kuarantin Jabatan Kesihatan Negeri Wilayah Persekutuan Labuan.
Ketua Polis Wilayah Persekutuan Labuan Superitendan Muhamad Farid Ahmad berkata, kesemua empat suspek yang ditahan itu memasuki Labuan melalui Terminal Feri Antarabangsa Labuan pada 27 September lalu dan telah pun diarah menjalani kuarantin COVID 19 (ANNEX 14b) selama 14 hari sehingga 10 Oktober ini.
“Keempat empat mereka telah ditahan pada 30 September lalu secara berasingan dan telah pun dihadapkan ke mahkamah Majestrit hari ini (1 Oktober) bagi permohonan reman selama lima hari untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Khamis.
Menurut Muhamad Farid, pasangan suami isteri warga asing masing-masing berumur 50-an ditahan jam 9 pagi apabila didapati telah sengaja menanggalkan gelang kuarantin tanpa kebenaran Jabatan Kesihatan Negeri ketika berurusan di Jabatan Imigresen.
Dalam tangkapan yang berasingan pada hari yang sama dua lelaki tempatan yang masing-masing berumur 40an dan 50an ditahan ketika didapati bekerja di sebuah tapak pembinaan di Kampung Sungai Bangat dengan memakai gelang kuarantin.
Jelasnya, kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan, perbuatan cuai yang mungkin merebakkan jangkitan apa-apa penyakit yang berbahaya kepada nyawa yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara enam bulan atau denda atau kedua-duanya sekali.
“Selain itu mereka juga boleh disabit kesalahan mengikut Seksyen 22(b) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 yang boleh dihukum penjara tidak lebih 2 tahun atau denda atau kedua-dua sekali,” katanya.
Muhamad Farid turut menegaskan agar semua mereka yang telah diarah menjalani kuarantin selama 14 hari dirumah supaya mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Wilayah Persekutuan Labuan.
“Pihak polis tidak akan teragak-agak dan berkompromi untuk menangkap sesiapa sahaja yang ingkar untuk dihadapkan ke mahkamah,” katanya.