26 C
Kota Kinabalu
Isnin, Februari 10, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

“Elaun MPKK Dibayar Secara Online Mula Tahun Depan,”-Ewon

Oleh: Marryan Razan

KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah akan membangunkan sistem pembayaran secara online bagi mempercepat dan mempermudahkan proses pembayaran elaun Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di negeri ini.
 
Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri (JPKN) sedang membangunkan sistem itu dan dijangka akan digunapakai pada tahun depan.
 
“Kementerian saya mengambil inisiatif-inisiatif penambahbaikan kepada sistem pembayaran elaun MPKK. Oleh itu, kementerian saya dengan kerjasama JPKN sedang membangunkan sistem pembayaran elaun MPKK secara online,” katanya.
 
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi kementeriannya pada persidangan dewan undangan negeri, di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.
 
Ewon berkata, sehingga Disember 2019, kementeriannya telah menyalurkan sebanyak RM22,409,150 pembayaran elaun MPKK di negeri ini.
 
“Kelewatan pembayaran elaun oleh beberapa Pengerusi MPKK disebabkan mereka belum mengemukakan dokumen sokongan pembayaran elaun.
 
“Mengikut maklumat daripada pejabat-pejabat daerah, terdapat badan MPKK belum mengemukakan dokumen sokongan terhadap pembayaran elaun tersebut seperti salinan buku bank dan kad pengenalan yang menyebabkan kelewatan pemprosesan pembayaran elaun MPKK,” katanya
 
Mengenai watikah pelantikan MPKK, Ewon berkata, sebanyak 2,853 badan MPKK di seluruh Sabah dan setakat 19 November, KPLB Sabah telah mengeluarkan 2,585 atau 90.6 peratus watikah pelantikan.
 
“Selebihnya sedang dalam proses melengkapkan borang cadangan lantikan. Antara sebab berlakunya kelewatan di beberapa daerah adalah borang-borang cadangan yang dikemukakan ke kementerian saya tidak menepati syarat yang ditetapkan.
 

“Borang-borang cadangan tersebut telah dikembalikan ke pejabat-pejabat daerah yang berkenaan untuk dilengkapkan,” katanya.
 
Berkaitan dengan geran MPKK, katanya pada tahun ini, KPLB Persekutuan menyediakan sebanyak  RM4.7 juta kepada 600 badan MPKK yang menerima geran tersebut pada tahun ini.
 
“Keterbatasan peruntukan yang disediakan oleh KPLB Persekutuan menyebabkan ada di antara permohonan geran MPKK tidak dapat dipertimbangkan. Kementerian saya menyokong semua permohonan geran MPKK yang dikemukakan, namun kelulusan akhir tertakluk kepada peruntukan yang tersedia berdasarkan prinsip siapa cepat dia dapat serta kertas kerja yang tidak bermasalah,” katanya.
 
Mengenai cadangan MESEJ Akuakultur (Balat) di Pulau Jambongan, Paitan ditukar menjadi MESEJ Perusahaan Burung Walit, Ewon berkata, kementeriannya mengambil maklum mengenai cadangan itu dan sedang menunggu laporan daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah.
 
“Saya sememangnya sudah merancang untuk mengadakan lawatan ke Pulau Jambongan untuk meninjau sendiri dan melihat potensi sebenar kawasan MESEJ untuk dibangunkan semula,” katanya.
 
Ewon turut menyambut baik cadangan Adun Sugut mengenai penubuhan sebuah agensi di bawah KPLB Sabah.
 
“Kementerian saya telah mengemukakan cadangan peletakan atau penubuhan sebuah agensi di bawah kementerian ini kepada Ketua Menteri dan sudah ada perbincangan mengenainya.
 
“Saya percaya cadangan ini sedang diteliti dengan lebih lanjut dan amat yakin Ketua Menteri akan memberi pertimbangan sewajarnya,” katanya.-TAMAT-

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN