DSP Simiun Lomudin bersama Pegawai Kanan dan Anggota turun padang melaksanakan penugasan Op Biru untuk pemantauan Prosedur Operasi Standard (SOP) dikalangan masyarakat dan peniaga di Pekan Kundasang.
RANAU: Masyarakat di daerah ini dinasihatkan agar terus mematuhi sepenuhnya Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa bagi membendung penularan virus Covid-19 yang semakin meningkat sejak akhir-akhir ini.
Menegaskan perkara itu, Ketua Polis Daerah Ranau, DSP Simiun Lomudin berkata, walaupun beberapa kelonggaran telah diberikan kerajaan kepada orang awam khasnya yang melibatkan premis perniagaan dan lokasi awam lain, namun kesedaran mengenai pematuhan SOP perlu sentiasa diamalkan.
Katanya, amalan pematuhan SOP seperti pemakaian penutup hidung dan mulut, tidak berkumpul di tempat sesak, penjarakan fizikal dan penjarakan tempat duduk di premis perniagaan seperti restoran dan café antara perkara yang sudah menjadi asas pengetahuan wajib masyarakat sejak pandemik Covid-19 melanda dunia sekitar dua tahun lebih yang lalu.

Pihak polis turut memberikan penutup hidung dan mulut kepada salah seorang individu dipercayai menghadapi masalah kesihatan mental di Pekan Ranau.
“Saya yakin masyarakat telah benar-benar memahami semua peraturan yang ditetapkan bagi mencegah penularan Covid-19 terus meningkat. Justeru, anda kena menjadi individu lebih bertanggungjawab dengan saling mengingatkan sesama masyarakat tentang pematuhan itu”. Tegasnya ketika mengetuai penugasan Op Biru disekitar Pekan Ranau dan Kundasang untuk memantau pematuhan SOP Covid-19 pada Rabu.
Dalam pada itu, Simiun turut menasihatkan semua pengusaha premis perniagaan dan pelancongan agar sentiasa mempastikan kod imbasan MySejahtera, buku catitan pelanggan, cecair pencuci tangan serta mesin pengimbas suhu lengkap tersedia disetiap permis mereka.
Katanya, pihak polis akan membuat lawatan berkala di kawasan tumpuan awam untuk mempastikan peraturan itu dipatuhi dan pihaknya tidak akan teragak-agak mengeluarkan sebarang kompaun sekiranya gagal.
“Tawaran kompaun juga akan dikeluarkan kepada mana-mana individu yang tidak mematuhi SOP yang ditetapkan”. Tegasnya lagi.
Pada Rabu, pihak Ibu Pejabat Polis Daerah Ranau diketuai DSP Simiun Lomudin bersama beberapa Pegawai Kanan dan Anggotanya telah melancarkan Op Biru disekitar Pekan Ranau dan Kundasang bagi memantau kesedaran orang awam terhadap pematuhan SOP Covid-19.
Menerusi penugasan itu, selain pemantauan mengenai Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid-19, pihak polis turut memberikan nasihat berhubung pencegahan jenayah khususnya rompak dan pecah premis agar seluruh masyarakat sentiasa berasa selamat dan mengambil perhatian sewajarnya daripada menjadi mangsa jenayah tersebut.