DUN Telupid terima 6,000 bantuan bakul makanan

Oleh: Celestina U Buandi

Jonnybone (tengah) menyerahkan bantuan bakul makanan (bantuan prihatin Covid-19, 2.9) di Dewan Serbaguna Daerah Telupid.

TELUPID: Dewan Undangan Negeri (DUN) Telupid telah menerima sebanyak 6,000 bantuan bakul makanan (bantuan prihatin Covid-19, 2.0) kepada ketua isi rumah yang terkesan bagi golongan B40.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telupid, YB Tn. Jonnybone J. Kurum mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri Sabah di atas keprihatinan menyalurkan bantuan makanan DUN Telupid.

Jonnybone

“Bagi mewakili penduduk kawasan Telupid, saya merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) atas bantuan yang telah diberikan.

“Memandangkan Telupid merupakan DUN yang baharu dan terletak jauh di pendalaman, agak sukar untuk penduduk di sini keluar ke pekan untuk membeli makanan.

“Bantuan bakul makanan ini dapat membantu serta meringankan beban dalam mendapat bekalan semasa PKPB berkuat kuasa.

“Saya juga bersyukur kerana penduduk kawasan Telupid terus mendapat perhatian daripada kerajaan”, kata Jonnybone lagi.

Menurut Jonnybone, pada hari ini, sebanyak empat kampung dlm mukim Liwogu, iaitu kampung Baba, kampung Ansuan, kampung Berayong dan kampung Kiabau menerima bekalan terlebih dahulu.
Edaran adalah di kendalikan oleh Pejabat Daerah Telupid dengan bantuan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).

“Bantuan akan diedarkan secara berperingkat kerana ruang dewan serbaguna tidak cukup untuk menempatkan stok yang banyak. Manakala, baki yang seterusnya bagi 37 buah kampung akan diagihkan esok dan seterusnya.

Dalam ucapannya juga, Jonnybone terus mengingatkan supaya semua rakyat kawasan Telupid akan terus mengamalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi mengekang penularan Covid-19.

Ini penting bagi mengembalikan aktiviti ekonomi dan sosial kembali pulih supaya rakyat boleh menjana pendapatan semula.

Penyerahan bantuan bakul makanan yang diadakan di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Telupid dihadiri oleh agensi kerajaan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Covid-19 Negeri, Pegawai Kebajikan Daerah, Pegawai Kementerian Belia dan Sukan, wakil Pegawai Majlis Daerah dan Jabatan Penerangan Telupid.