Hendrus Anding (tiga, kanan) memberikan penerangan kepada YAB Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor (depan, kiri) semasa tinjauan ke tapak menempatkan Mesin mengeluar wang automatik (ATM) di pekan Tandek.
KOTA MARUDU: Walaupun sudah memasuki tahun 2021 namun Dewan Undangan Negeri (DUN) Tandek masih ketinggalan kerana tidak ada kemudahan bank.
Ini menjadikan DUN itu kelihatan ketinggalan berbanding DUN-DUN lain selain menyukar kehidupan penduduk di mana mereka terpaksa ke Kota Marudu dan Kudat untuk urusan perbankan.
Sehubungan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tandek, Hendrus Anding merayu agar kemudahan bank disediakan di pekan Tandek diwujudkan demi kemudahan penduduk.
Beliau juga berharap, lawatan kerja Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor ke Pekan Tandek hari ini turut membawa sinar kerana beliau turut meninjau lokasi cadangan dan tapak menempatkan mesin mengeluar wang automatik (ATM) di Tandek.
“Saya amat berharap agar kemudahan bank dapat diwujudkan di pekan Tandek bertujuan mengurangkan kesesakan orang ramai terutamanya di masa pandemik Covid-19 ini yang mana kerajaan amat menekankan penjarakan fizikal,” kata Hendrus.
Hendrus yang juga Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah berharap bank-bank seperti Bank Alliance dan Bank Pertanian dapat menyediakan mesin ATM mereka di Pekan Tandek untuk kemudahan rakyat.
“Saya telah menghantar surat permohonan kepada bank-bank berkenaan untuk tindakan susulan.
“Tambahan pula apa yang paling menyedihkan saya ialah apabila tibanya hari pembayaran gaji atau bantuan kerajaan, ada antara penduduk Tandek terpaksa bermalam di sekitar bank untuk menunggu giliran pada hari esoknya.
“Sehinggakan ada yang terpaksa ke daerah Kudat untuk mendapatkan perkhidmatan perbankan.
“Dengan adanya perkhidmatan bank, sekurang-kurangnya mesin ATM ia dapat menyuntik elemen kemajuan dan menceriakan pekan Tandek yang sepi dan suram. Secara tidak langsung juga akan dapat menguatkan ekonomi pekan Tandek,” katanya.