DUN Tandek perlu lebih banyak premis perniagaan

Oleh: Celestina U Buandi

Hendrus (tengah) bersama Mansiung Banah (dua, kiri) ketika meninjau tapak lot cadangan pembinaan premis perniagaan pekan Tandek, Kota Marudu.

KOTA MARUDU: Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tandek memerlukan lebih banyak lagi pertambahan bangunan premis perniagaan di pekan Tandek.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tandek, Hendrus Anding memohon agar lebih banyak bangunan 2 tingkat dibina bagi meningkatkan taraf ekonomi penduduk DUN Tandek.

“Pembinaan premis perniagaan perlu dipercepatkan kerana pertambahan kedai baharu di sini akan dapat mempelbagaikan fungsi penawaran keperluan dan perkhidmatan serta menarik lebih pengunjung dan sudah pasti ini akan menjadikan medan pekan Tandek menjadi lebih berdaya saing”, kata Hendrus.

Dalam satu tinjauan ke tapak lot kedai bersama dengan Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan Dan Bandar (LPPB), Datuk Mansiung Banah, Hendrus berkata bahawa tapak lot kedai ini telah ditimbus pada tiga tahun lalu bagi cadangan membina 91 buah kedai dua tingkat di pekan ini.

“Saya berharap agar pihak LPPB dapat mempercepatkan pembinaan bangunan bagi pekan Tandek.

Pekan Tandek yang terletak 12 kilometer dari Bandar Kota Marudu mempunyai kira-kira 33,225 orang penduduk.

“Setakat Ini, hanya terdapat 12 buah premis perniagaan sahaja di pekan Tandek”, kata Hendrus lagi yang juga merupakan Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah.

“Saya yakin, taraf hidup penduduk DUN Tandek akan dapat dipertingkatkan di mana lebih ramai lagi akan menceburkan diri dalam bidang perniagaan dan lebih banyak kedai menjual pelbagai produk. Kemudahan penyediaan premis perniagaan ini sudah pasti akan menjadi pemangkin kepada semua penduduk untuk lebih proaktif.

Turut hadir dalam tinjauan ke tapak cadangan pembinaan lot kedai baharu itu ialah, Pengarah Urusan LPPB, Rosemery Ahping, Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Kota Marudu, Mumin Amsah, Pegawai Pemimpin Masyarakat (PPM) Majawap Masantun, serta kakitangan Pejabat ADUN dan UPPM Tandek.