GAMBAR: TAHNIAH…. Penerima Bintang dan pingat Hari Wilayah Persekutuan 2022 dari kiri ke kanan, Mohd Dzulfaizal, Jailani, Amirul, Jainudin dan Musa
LABUAN: Dua wartawan dari Labuan adalah antara 263 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat sempena Hari Wilayah Persekutuan yang dikurniakan oleh Yang Di Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di Istana Negara, pada Selasa lalu.
Dua wartawan yang juga merupakan Ahli Persatuan Penggiat Media Labuan itu ialah Ketua Biro BERNAMA Labuan, Jailani Hassan yang dianugerahkan pingat Kesatria Mahkota Wilayah (KMW) dan Pengerusi Persatuan Penggiat Media Labuan, Jainudin Djimin yang dianugerahkan pingat Ahli Mahkota Wilayah (AMW).
Sembilan lagi penerima dari Wilayah Persekutuan Labuan ialah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Fadzilah Mahmud yang dianugerahkan pingat Kesatria Mahkota Wilayah (KMW), Ketua Polis Daerah Wilayah Persekutuan Labuan, Superitendan Ahmad Jawila (KMW), mantan Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Labuan, Amirul Hadi Idham yang dianugerahkan pingat Ahli Mahkota Wilayah (AMW), dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (IKM) Labuan, Ansharey Matarsad (AMW).
Turut menerima pengurniaan itu ialah Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon Labuan, Mohd Dzulfaizal Abdul Manan (AMW), Ketua Pemuda UMNO Bahagian Labuan, Musa Basman dan Ketua Serikandi Pribumi Bersatu Malaysia (PBBM) Bahagian Labuan, Juliana Ibrahim (AMW), Kapten Japli Siping dan Salmah Abdul Rahman kedua duanya dari Angkatan Pertahanan Malaysia, Wilayah Persekutuan Labuan.
Hadir sama menyaksikan Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan 2022 ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Sahidan Kasim.