ANGGOTA Bomba berkerja keras untuk memadam kebakaran dua buah rumah yang terbakar dalam kejadian di Kampunbg Rancha-Rancha Laut, petang kelmarin.
LABUAN: Dua buah keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas rumah separuh kekal mereka hangus 100 peratus dijilat api dalam kejadian kebakaran di Kampung Rancha –Rancha Laut, petang Isnin.
Bagaimanapun dalam kejadian 3.30 petang itu tidak melibatkan kemalangan jiwa apabila semua penghuni berjaya menyelamatkan diri.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Wilayah Persekutuan Labuan, Ismaidi Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu kira-kira jam 3.38 petang dan tiba ditempat kejadian 2 minit kemudian.
“Seramai 27 anggota termasuk pegawai dari balai bomba Rancha-Rancha, Balai Bomba Sentral dan Balai Bomba Layang-Layangan bergegas ke lokasi untuk kerja-kerja memadam kebakaran dan menyelamat” katanya ketika dihubungi disini, kelmarin.
Beliau berkata, kebakaran tersebut berjaya di padamkan sepenuhnya pada jam 4.12 petang.
Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.