DITEMUKAN…. Ibu kepada dua adik beradik itu memeluk mereka selepas berjaya di bawa pulang oleh Bot KILAT 23 Zon Maritim Labuan.
LABUAN: Dua pasangan adik beradik berdepan detik cemas apabila bot dinaiki mereka mengalami kerosakan enjin ketika menangkap ikan di perairan Semarang, dekat sini pada Sabtu.
Kedua dua mereka Muhammad Nuhidayat Jafari, 18, bersama abangnya Muhammad Nabil Jafari, 22 terpaksa bersauh untuk membaiki enjin bot mereka, namun usaha itu tidak berjaya.
Bagaimanpun kedua dua mereka bernasib baik selepas berjaya mendapatkan bantuan melalui bot nelayan yang sedang menangkap ikan di kawasan berkenaan dan seterusnya menghubungi ibu mereka kira-kira jam 8.40 pagi pada Ahad yang kemudian memaklumkan kepada pihak berkuasa.
BOT Nelayan yang menemui mangsa di perairan Semarang.
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Labuan dalam satu kenyataan berkata bertindak daripada maklumat yang diterima, pihaknya telah mengarahkan Bot KILAT 23 Zon Maritim Labuan untuk operasi mencari dan menyelamat.
Kedua dua mangsa telah berhasil di bawa balik ke Labuan oleh bot KILAT 23 Zon Maritim Labuan untuk diserahkan kepada pihak ambulan bagi tujuan rawatan lanjut.
Turut terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat itu ialah Tentera Laut Di Raja Malaysia (TLDM), Pasukan Polis Marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Angkatan Pertahanan Awam.