SUHAILI ketika berucap padamajlis Mesyuarat Agung Penubuhan DPMM Labuan yang baharu, baru-baru ini.
LABUAN Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Labuan yang baharu ditubuhkan semula berhasrat untuk menuntut semula konsesi pelabuhan Labuan Liberty Port.
Presiden DPMM Labuan Datuk Suhaili Abdul Rahman berkata, pihaknya akan meminta kerajaan untuk melihat semula perjanjian pengendalian pengurusan Labuan Liberty Port yang dibuat secara terburu-buru beberapa hari setelah kerajaan yang memerintah (PH) ketika itu tumbang dan diambil alih oleh parti memerintah ketika ini Perikatan Nasional (PN).
Namun katanya, bekas Pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan lantikan DAP yang masih berkuasa ketika itu mengambil kesempatan dengan melantik pengendali baharu menggantikan pengendali lama.
“Konsesi Labuan Liberty Port diambil alih oleh pengendali baru berikutan beberapa masalah teknikal pengurusan dalaman DPMM menyebabkan konsesi itu terlepas ketangan syarikat lain.
“Kami akan membawa masalah ini kepada kepimpinan tertinggi kerajaan dan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, kerana penyerahan konsesi dilakukan beberapa hari selepas kerajaan Pakatan Harapan runtuh dan terburu-buru, DPMM Labuan dan DPMM pusat akan memerangi isu ini, ”katanya.
Suhaili berkata demikian kepada media selepas beliau dipilih sebagai Presiden DPMM Labuan yang baharu pada Mesyuarat Agung Penubuhan DPMM Labuan yang diadakan baru-baru ini.
Suhaili berkata, protes dalam petisyen akan diajukan kepada pihak berkuasa yang lebih tinggi bahawa DPMM Labuan tidak diberi banyak masa dan peluang yang sama untuk mempertahankan haknya sebagai syarikat konsesi Labuan Liberty Port.
“Konsesi pelabuhan seharusnya tidak diambil alih oleh operator di luar Labuan, ia harus tetap untuk komuniti perniagaan Labuan,” katanya.
Straits Inter Logistics Bhd pada 3 Mac lalu menandatangani perjanjian muktamad dengan Labuan Pelabuhan Labuan (LPA) untuk mengendalikan dan menguruskan Labuan Liberty Port untuk tempoh kontrak enam tahun pada bulan Januari lalu.
Kontrak ini dilakukan oleh anak syarikat milik 51 peratus syarikat, Megah Port Management Sdn Bhd, di mana baki saham 49 peratus dipegang oleh LPM Holdings Bhd.