John Jinitoh menyokong pendirian Dr Jeffrey
TAMPARULI: Ketua Bahagian StarSabah N14.Tamparuli, John Jinitoh menyokong pendirian serta kenyataan Presiden parti, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan dan menggesa rakyat Sabah supaya menolak sahaja parti Malaya dalam PRN akan datang.
“Jika diamati, kita tidak melihat apa sumbangan Parti Umno selama ia berkuasa di Sabah, dalam menuntut hak-hak Sabah.
“Justeru, kita berpendapat bahawa pemimpin parti tersebut agar jangan memecahbelahkan rakyat Sabah semata-mata kerana fahaman politik. Rakyat Sabah sudah mulai sedar,” kata beliau.
Tambah John, slogan ‘Sabah For Sabahan’ adalah laungan yang tepat untuk Sabah jika mahu mencontohi Sarawak.
“Apabila rakyat Sabah serta netizen mengatakan ‘alangkah bagusnya jika Sabah jadi seperti Sarawak’, ini menunjukkan bahawa begitulah aspirasi rakyat Sabah ketika ini.
“Pada perhimpunan agung StarSabah yang lepas, Presiden StarSabah, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan jelas mengatakan supaya biar parti-parti Malaya fokus di Malaya dan biar parti-parti tempatan Sabah jaga rumahnya sendiri,” katanya.
Menurut John, gesaan tersebut adalah kesan dari kegagalan BN Umno memerintah Sabah selama 30 tahun di Sabah.
“Semasa BN Umno memerintah Sabah, Sabah bukan bertambah maju tetapi semakin miskin. Oleh itu BN Umno tidak lagi layak jadi pemerintah di Sabah. BN Umno harus ditolak sepenuhnya oleh rakyat Sabah,” katanya.
Tambah beliau, slogan Sabah For Sabahan bukan membenci orang-orang Malaya, “Tetapi kami mahu menolak 100 peratus penguasaan parti Malaya ke atas Sabah.
“Jika Sarawak ada GPS, kita juga ada GRS di Sabah. Kita sudah ada landasan yang tepat, dan Sabahan hanya perlu mengangkat aspirasi ini untuk menjadi seperti kerajaan Sarawak,” katanya.
Tambah John lagi, ini jelas terbukti di Sarawak yang dikuasai sepenuhnya oleh parti-parti tempatan di mana daripada 82 jumlah kerusi DUN, Parti GPS dan PSB menguasai 80 buah kerusi dan hanya 2 kerusi PH.
Ini, ujar beliau, telah membawa kepada satu pemerintahan yang sangat kukuh oleh Kerajaan Sarawak.
“Mereka boleh menggubal undang-undang baru demi melindungi hak-hak Sarawak dengan mudah.
“Dan kekuatan politik parti-parti tempatan di Sarawak telah membawa Sarawak kepada sebuah kerajaan yang stabil dan mempunyai pendapatan tertinggi di Malaysia sejak tahun 2022,” katanya.
Sementara itu, John berkata fakta sebenar tidak menafikan BN Umno adalah parti yang paling lama memerintah Sabah iaitu hampir 30 tahun.
“Tetapi ketika itu juga Sabah sering menerima anugerah sebagai negeri yang termiskin di Malaysia. Sila rujuk statistik data penganalisis ekonomi 2016-2019,” katanya.
“Oleh itu sekali lagi saya nyatakan dengan tegas bahawa para pemimpin Sabah harus sedar akan aspirasi rakyat di Sabah sekarang adalah mahu menjadi seperti Sarawak, di mana Sarawak sebelum ini begitu tegas Melaungkan Slogan Sarawak For Sarawakian.
“Sehingga kini parti lokal Sarawak telah memenangi PRN selama dua penggal berturut-turut dengan begitu bergaya dan kesannya adalah Sarawak bebas menentukan hala tuju politik dan ekonomi mereka sendiri,” katanya.
John turut menggesa agar seluruh Rakyat Sabah menolak 100 peratus campur tangan Parti Malaya di Sabah pada PRN yang akan datang.
“Kita juga harus menolak mana-mana parti tempatan yang menumpang populariti parti Malaya.
“Konon mengaku parti tempatan tapi bila pilihanraya guna nama parti Malaya untuk meraih sokongan. Sudah tiba masanya Rakyat Sabah sendiri yang menentukan hala tuju dan autonomi sendiri di Sabah,” jelas beliau.