25 C
Kota Kinabalu
Selasa, Januari 14, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Dewan Rakyat: Mahathir dan 5 Bebas mungkin duduk di blok kerajaan, tanda protes kepada Anwar

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad bersama 5 lagi ahli parlimen yang menyokongnya dijangka bakal duduk di kawasan blok kerajaan sebagai satu tanda protes terhadap Anwar Ibrahim.


Ini berikutan perkembangan terbaru apabila, Tun Dr Mahathir bersama lima Ahli Parlimen mengumumkan untuk membentuk blok Bebas dengan Parti Warisan Sabah (WARISAN), tanpa bergabung dengan gabungan parti politik lain, sama ada PN atau Pakatan Harapan (PH).

Dalam satu kenyataan terbaru Ahli majlis tertinggi Bersatu, Wan Saiful Wan Jan mendedahkan bahawa bekas pengerusi parti itu Dr Mahathir Mohamad tidak pernah mahu melihat Anwar Ibrahim menggantikannya sebagai perdana menteri.

“Dalam pelbagai perbincangan dan mesyuarat tertutup selepas PRU14 yang dihadiri oleh penulis sendiri, Mahathir bersikap tegas dan konsisten bahawa beliau tidak mahu melihat Anwar menggantikannya sebagai perdana menteri walaupun kenyataan dibuat di hadapan umum.

Wan Saiful mendakwa Anwar menggunakan pendekatan “pasif agresif” terhadap Mahathir – dari satu sudut, Anwar akan menggambarkan dirinya tidak mahu tergesa-gesa menuntut peralihan kuasa, dan pada masa sama enggan menghentikan tuntutan penyokongnya.

“Sikap” pasif agresif “ini yang ditunjukkan oleh Anwar … melemahkan pentadbiran Pakatan Harapan dan menambah persepsi bahawa (gabungan itu) berpecah belah,” katanya.

Bagaimanapun, sehingga kini belum ada maklumat rasmi berkenaan tempat duduk mereka, termasuk di laman rasmi Parlimen, kecuali maklumat yang menyatakan bahawa kedudukan setiap Ahli Parlimen akan dijarakkan satu meter antara satu sama lain mengikut prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Mengikut takwim persidangan, sidang Dewan Rakyat yang berlangsung selama 25 hari akan memberi tumpuan kepada usul menjunjung kasih dan perbahasan titah diraja serta jawapan oleh menteri berkaitan selama empat minggu.

Usul menjunjung kasih dan perbahasan titah diraja itu kebiasaanya berlangsung ketika mesyuarat pertama.

Minggu kelima hingga ketujuh majlis mesyuarat kedua ini pula akan menyaksikan pembentangan dan perbahasan rang undang-undang.

Antara rang undang-undang yang dijangka dibawa ke Parlimen ialah Rang Undang-Undang (RUU) Pelaksanaan Langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan COVID-19 yang bertujuan meminimumkan impak penularan wabak itu kepada ekonomi dan sosial rakyat serta industri.

Pindaan terhadap Akta Pengangkutan Jalan 1987 membabitkan individu yang memandu di bawah pengaruh alkohol juga dijangka dibentangkan di Parlimen, susulan peningkatan kes kemalangan maut pengguna jalan raya membabitkan pemandu mabuk.

Dua RUU penting berkaitan dengan kewangan dijangka turut dibawa dalam persidangan kali ini, iaitu RUU Perbekalan Tambahan 2019 dan 2020.

Selain itu, usul perisytiharan pelantikan ketua pembangkang, pelantikan jawatankuasa pilihan serta pengerusi dan naib pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) juga antara yang bakal dibincangkan.

Kerajaan PN sebelum ini memutuskan dasar melantik Ahli Parlimen pembangkang sebagai Pengerusi PAC dikekalkan, manakala naib pengerusi akan dilantik dalam kalangan anggota penyokong kerajaan.

Sidang dewan kedua kerajaan PN ini akan berlangsung dalam normal baharu dengan pematuhan (SOP) bagi mengelak penularan COVID-19.

Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan PKP sebelum ini memutuskan SOP, iaitu pemakaian pelitup separuh muka, penyediaan cecair pembasmi kuman serta jarak sosial satu meter di antara tempat duduk Ahli Parlimen semasa persidangan.

Hanya Ahli Parlimen dan pegawai dibenar masuk ke dewan persidangan, manakala petugas media dan penjawat awam dibenarkan berada di bangunan Parlimen. –http://Bernama

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN