Sabin
KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) menegaskan tindakan menunda kenderaan yang menghalang lalu lintas atau laluan pejalan kaki merupakan langkah terakhir bagi memastikan keselamatan serta kepentingan pengguna jalan raya di pusat bandar.
Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Dato’ Sri Dr Haji Sabin bin Samitah berkata tindakan penguatkuasaan itu dilaksanakan susulan aduan mengenai parkir berganda dan kenderaan yang ditinggalkan tanpa pemandu sehingga menjejaskan kelancaran lalu lintas.
Beliau berkata kawasan yang kerap menerima aduan termasuk Pasar Besar Kota Kinabalu, Anjung Kinabalu, Sinsuran dan kawasan pasar malam SAFMA.
“Kompaun sahaja tidak dapat mengatasi halangan dengan segera sekiranya kenderaan ditinggalkan tanpa pemandu.
“Sebelum penundaan dilaksanakan, anggota penguat kuasa akan memberikan amaran melalui siren dan pengumuman supaya kenderaan dialihkan. Jika arahan tidak dipatuhi, penundaan dilakukan sebagai langkah terakhir untuk membuka semula laluan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sabin berkata DBKK juga berpandangan kemudahan parkir di pusat bandar secara keseluruhannya mencukupi, dengan kira-kira 20,000 petak parkir termasuk 4,005 petak parkir awam.
Antara kemudahan parkir yang tersedia ialah KK Plaza dengan 452 petak pada kadar RM1 sejam, Menara Jubili (276 petak, RM1 sejam), The Shore (700), Wisma Merdeka (750), Warisan Square (500) dan Oceanus (800).
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya menggunakan kemudahan parkir yang sah dan merancang perjalanan bagi mengelakkan kenderaan diletakkan di lokasi yang boleh menghalang laluan.
“Keinginan meletakkan kenderaan berhampiran destinasi tidak boleh dijadikan alasan untuk menghalang laluan atau melanggar peraturan parkir,” katanya.
Dalam pada itu, Sabin berkata rekod DBKK menunjukkan sebahagian pemilik kenderaan yang ditunda mempunyai kompaun terdahulu yang masih belum diselesaikan.
Katanya, terdapat kes tertentu membabitkan sehingga 200 kompaun dengan nilai terkumpul mencecah RM40,000, menunjukkan berlaku kesalahan berulang serta tanggungan kompaun yang semakin meningkat.
Bagaimanapun, beliau berkata pemilik kenderaan masih boleh menghubungi Jabatan Penguatkuasaan DBKK bagi menguruskan tuntutan kenderaan masing-masing.
“Permohonan pembayaran secara ansuran dan rayuan terhadap jumlah kompaun terkumpul yang tinggi boleh dipertimbangkan,” katanya.
Sabin turut menjelaskan DBKK setakat ini tidak pernah melelong kenderaan yang disita akibat kesalahan parkir, walaupun peruntukan undang-undang kecil membenarkan tindakan berkenaan tertakluk kepada syarat dan prosedur ditetapkan.
Katanya, lelongan yang pernah dilaksanakan hanya melibatkan kenderaan buruk yang terbiar dan dikategorikan sebagai buangan bagi menangani isu kebersihan, keselamatan serta penggunaan ruang awam.
Orang ramai yang mempunyai pertanyaan berkaitan penundaan, rekod kompaun, permohonan bayaran ansuran atau tuntutan kenderaan diminta berhubung terus dengan Jabatan Penguatkuasaan DBKK bagi mendapatkan penjelasan berdasarkan rekod kes masing-masing.
Sabin berkata DBKK komited memastikan penguatkuasaan dilaksanakan secara profesional, adil dan konsisten demi mewujudkan Kota Kinabalu yang lebih teratur, selamat dan selesa untuk semua.



