James bersama jentera kempen Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri Sugut menjalankan kempen membantu calon BN dalam PRN Johor.
BELURAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sugut, Datuk James Ratib mengucapkan tahniah kepada semua calon-calon Barisan Nasional (BN) yang menang dalam Pilihanraya Negeri Johor Ke-15.
Katanya, kemenangan itu menunjukkan rakyat Johor yakin dengan kredebiliti pentadbiran Kerajaan Barisan Nasional (BN) dan mereka menepis segala tohmahan liar jentera kempen lawan terhadap pemimpin BN.
“Ia juga suatu lembaran baru kepada senario politik negara. Mungkin akan memberi pengajaran berguna kepada seluruh kepimpinan BN agar momentum ini dipertahankan dengan menyantuni corak pentadbiran lebih berkualiti dan cemerlang kepada rakyat”. Jelasnya.
James yang juga Pembantu Menteri Pertanian Dan Perikanan Negeri Sabah menjelaskan, kemenangan besar Barisan Nasional (BN) dalam PRN itu turut disumbangkan oleh semangat kerjasama berpasukan seluruh jentera pilihanraya yang bertungkus-lumus berkempen termasuk daripada negeri Sabah.
Tegasnya, walaupun dalam siri kempen tersebut jentera BN dihujani dengan pelbagai isu perdebatan politik, namun ia berjaya ditepis kerana gerak kerja berpasukan yang padu dan profesional.
“Semangat kerja berpasukan jentera BN sangat membantu untuk mencapai kemenangan besar. Ia perlu terus dipertahankan sehingga kita menghadapi Pilihanraya Umum Ke-15”. Katanya yang turut menjadi sebahagian daripada jentera kempen BN dalam PRN tersebut.
Keputusan rasmi yang diumumkan Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) bagi PRN Johor Ke-15 pada 12 Mac, Barisan Nasional (BN) memenangi 40 kerusi, Pakatan Harapan (PN) 11, Perikatan Nasional (PN) 3, Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) 1 dan Parti Keadilan Rakyat 1.