BARISAN kepimpinan DPIM Labuan Dr Ramli (dua kiri), Haji Gapilin (tiga kanan) dan Haji Wan Abdul Rahim (tiga dari kiri) yang baharu bersama ahli ahli yang hadir pada mesyuarat tersebut.
LABUAN: Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) Cawangan Wilayah Persekutuan Labuan hari ini mengumumkan Pengarah Urusan Klinik Bakti & Surgery, Datuk Dr Ramli Haji Tahir telah dipilih sebagai Pengerusi baharu DPIM Labuan menggantikan Haji Wan Abdul Rahim Wan Abd Rahman yang tidak mempertahankan jawatan tersebut.
Perlantikan beliau dibuat menerusi Mesyuarat Agung DPIM Labuan kali ke 4 yang berlangsung di salah sebuah hotel di sini, baru-baru ini.
Pengarah Urusan Cahaya Pack Sdn. Bhd, Datuk Haji Gapilin Nasaruddin dipilih sebagai Timbalan Pengerusi.
CENDERAHATI…. Dr Ramli (kiri) menyerahkan cenderahati kepada Haji Wan Rahim.
Kedua dua mereka menang tanpa bertanding Jawatan Naib Pengerusi di sandang oleh Sabrina Jessey Mohd Iskandar, Setiausaha Kehormat diamanahkan kepada Haryani Datuk Isli dan Bendahari disandang oleh Suffian Bungso.
Sembilan AJK lain yang dipilih dalam mesyuarat tiga jam itu ialah Effalin Ilham, Suffian Bungso, Azli Azman Chua, Ahmad Syukri Mohammad, Mohd Farid Izuddin Jaafar, Khairul Mazammil Zakaria, Haryani Datuk Isli, Datin Dr Nirzunaidah Abdul Khannan dan Dayangku Norizah Pangiran Zainal.
Sementara itu, Dr Ramli berkata beliau bersama barisan jawatankuasa yang baharu dibentuk menghormati keputusan Haji Wan Abdul Rahim untuk tidak mempertahankan jawatan sebagai Pengerusi.
Bagaimanapun Haji Wan Abdul Rahim yang telah memimpin DPIM Labuan sejak 2018 masih kekal dalam jawatankuasa DPIM apabila dilantik sebagai Pengerusi Tetap.
Haji Wan Abdul Rahim ketika dihubungi yakin Datuk Dr Ramli dan Datuk Gapilin adalah pilihan yang tepat bagi menerajui DPIM kerana kedua duanya mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang keusahawan.
“Tambahan pula Datuk Dr Ramli sebelum ini merupakan Timbalan Pengerusi saya yang telah lama bersama dewan dan memahami dasar perjuangan dan hala tuju sebenar penubuhan DPIM khususnya dalam memperjuangkan nasib usahawan” katanya.
Hadir sama, Pengerusi Ahli Kumpulan Pemikir DPIM Labuan, Datuk Harris Anuar Tan, Datuk Danial Mah Abdullah dan Datuk Zakaria Hassan.