DANSA TIKTOK CHALLENGE MENGOPTIMUMKAN APLIKASI DIGITAL DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

DANSA TIKTOK CHALLENGE MENGOPTIMUMKAN APLIKASI DIGITAL DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

11/07/2021 Off By Admin

Oleh: Mohd Asnari Bin Taim (1) dan Dr. Jurry Foo (2)

  • Jurulatih, Kursus kokurikulum berkredit  Tarian Sabah EA01703
  • Pengarah, Pusat Kokurikulum dan Pemajuan Pelajar, Universiti Malaysia Sabah.

https://www.facebook.com/pkppumskk

PUSAT Kokurikulum dan Pemajuan Pelajar, Universiti Malaysia Sabah (PKPPUMS) memanfaatkan aplikasi digital sebagai pendekatan kreatif mahasiswa yang mengambil kursus kokurikulum berkredit  Tarian Sabah EA01703 di bawah bimbingan jurulatih En. Asnari melalui penganjuran Dansa Tik Tok Challenge.

Program pengembangan ilmu dan kemahiran bermasyarakat itu bertujuan untuk memupuk kemahiran interpersonal dan kepemimpinan mahasiswa melalui program interaksi dengan masyarakat sebagai pendedahan menghadapi normal baharu yang cenderung kepada dunia digital sesuai dengan era Revolusi Industri 4.0. Di samping itu program ini juga merupakan landasan dalam mengeratkan hubungan antara universiti dengan masyarakat.

Menurut pengarah program mahasiswa Shamsulmezah Binti Shamsul, objektif yang ingin dicapai melalui program ini ialah (1) membantu masyarakat untuk mengenali tarian Sabah, (2) menonjolkan dan mengasah bakat anak muda dalam bidang tarian dan (3) menjadikan aktiviti tarian sebagai salah satu aktiviti yang dapat menyatukan masyarakat.

Dansa TikTok Challenge ialah pertandingan gerak tari yang dijalankan secara dalam talian melalui aplikasi yang sangat popular pada masa kini iaitu TikTok sebagai pendekatan menarik ramai penyertaan masyarakat untuk menyertai cabaran ini. Program ini melibatkan pereka tari (Choreographer) jemputan dalam mencipta koreorafi yang mudah diikuti oleh pengguna aplikasi tiktok dengan mengadun tarian moden dengan tarian tradisional.

Terdapat tiga jenis cabaran yang dianjurkan di dalam program ini iaitu #DansaTradisiChallenge, #DansaModernChallenge dan #DansaMixChallenge. Peserta perlu menghantar video tersebut di akaun tiktok Tarian Sabah UMS dan seterunya menyebarkan video itu di laman sosial TikTok dengan hashtag #DansaTikTokChallenge. Pertandingan tersebut disertai 76 orang yang mendaftar dan 120 orang yang menyertai secara tidak rasmi iaitu menggunakan hastag#. Keputusan akhir menyaksikan kemenangan #DansaMixChallenge dimenangi oleh Mohammad Shafizan Bin Mohammad Affendi, #DansaModernChallennge oleh Nurul Diana Arman dan Pemenang #DansaTradisiChallenge oleh Jesper Paul John. Sementara itu, persembahan peserta Merrywati Manuil mendapat banyak komen positif  dan meraih populariti yang sangat membanggakan (5.31k tontonan di FB Era Sabah; 1.1 juta tontonan FB Jabatan Penerangan Sabah dan ribuan tontonan di TikTok penama Wawatty).

Antara komen positif daripada pelayar dalam talian ialah ucapan tahniah atas penganjuran program ini sebagai kaedah yang sangat sesuai untuk memperkenalkan budaya dan latar belakang tarian negeri Sabah. Tidak kurang juga yang memuji pendekatan penganjur selain menyuarakan rasa bangga atas kebolehan dan bakat semua peserta yang bertanding.

PKPP UMS berhasrat untuk mengadakan lebih banyak program seumpamanya melalui kursus kokurikulum berkredit sebagai satu kaedah memperkasakan kredibiliti mahasiswa holistik dalam melalui pengalaman bermasyarakat di alam maya.