Isu pemberian hak perolehan bersih 40 peratus kepada Sabah telah sekian lama menjadi isu yang hangat diperkatakan. Ahli- ahli politik dan para pemimpin dari Sabah secara lantang menuntut agar kerajaan Persekutuan menghormati dan memberikan hak yang sepatutnya kepada Sabah seperti yang dimaksudkan oleh Perkara 112C dan khususnya Subseksyen 2(1) Bahagian IV Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan.
Apakah sebenarnya isu perolehan bersih sebanyak 40 peratus ini? Kebanyakan orang memahami bahawa adalah hak Sabah untuk menerima Pemberian Khas ini tetapi sehingga sekarang hak yang jelas ini masih lagi dinafikan kepada Sabah. Kekeliruan dan kemarahan secara semula jadi akan berlaku apabila kita dinafikan apa yang sepatutnya kita perolehi kerana ia adalah menjadi hak kita. Lebih-lebih lagi di dalam isu perolehan bersih 40 peratus ini kerana semua mengetahui bahawa Sabah telah dikurniakan sumber asli semulajadi yang kaya dan telah menyumbang dengan ketara kepada hasil yang dikutip oleh kerajaan Persekutuan setiap tahun dari negeri Sabah sejak pembentukan Malaysia.
Baru-baru ini, jawapan yang diberikan oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz di Parlimen dan diulangi dalam kenyataan akhbar beliau telah memberikan satu kejutan besar yang kesannya telah meranapkan harapan setiap rakyat Sabah dalam menuntut hak perolehan bersih berdasarkan formula 40 peratus tersebut. Akhirnya pendirian kerajaan persekutuan terjawab apabila Tengku Zafrul menyatakan bahawa formula 40 peratus tersebut sudah tidak terpakai.
Pendirian yang diambil oleh kerajaan persekutuan ini boleh dilihat adalah berdasarkan kepada Perintah Ulangkaji/Semakan (Review) yang dibuat pada tahun 1969 [Perintah Pemberian Khas Sabah (Ulangkaji Pertama), 1970] yang mana menyatakan bahawa Sabah tidak akan mendapat 40 peratus hasil bersih yang dikutip tetapi digantikan dengan pemberian lain kepada Sabah selama 5 tahun yang mana jumlahnya adalah RM20 juta (1969), RM21.5 juta (1970), RM23.1 juta (1971), RM24.8 juta (1972) dan RM26.7 juta (1973).
Memandangkan tiada Ulangkaji/Semakan (Review) lain dibuat semenjak itu, pemberian geran terakhir yang berjumlah RM26.7 juta masih lagi diteruskan dan dibayar kepada Sabah setiap tahun sehingga hari ini sejak tahun 1974. Kerajaan persekutuan dalam mewajarkan/menjustifikasikan jumlah ini (RM26.7 juta) telah bergantung kepada peruntukan Perkara 112D (3) FC yang bahagian berkenaan menyatakan “…; tetapi apa-apa perintah di bawah Fasal (1) yang melaksanakan keputusan sesuatu kajian semula hendaklah terus berkuat kuasa selepas berakhirnya tempoh itu, kecuali setakat yang perintah itu digantikan dengan suatu perintah selanjutnya di bawah Fasal itu..”
Mana pada asasnya bermaksud seakan-akan kerajaan Persekutuan memberitahu kepada Sabah bahawa “Ya, kami mungkin telah mengutip lebih banyak perolehan daripada anda setiap tahun sejak 1974, tetapi maaf saya hanya akan terus membayar anda jumlah yang sama sebanyak RM26.7 juta setiap tahun kerana saya boleh melakukannya sebab tidak ada semakan dilakukan untuk meningkatkan bayaran.”
Dalam usaha untuk memahami mengapa menteri kewangan dan kerajaan Persekutuan mengambil pendirian bahawa formula 40 peratus tersebut tidak lagi terpakai, kita boleh membuat kesimpulan yang munasabah bahawa ia adalah kerana jika kerajaan Persekutuan mengiktiraf formula tersebut masih terpakai, maka ia boleh dihujahkan bermula dari 1974 (di mana Ulangkaji/Semakan (Review) ke-2 sepatutnya dibuat) Sabah boleh bergantung kepada formula 40 peratus tersebut dan menuntut daripada kerajaan Persekutuan untuk membayar Pemberian Khas kepada Sabah berdasarkan kepada formula tersebut. Walaubagaimanapun, dengan tidak mengikhtiraf atau memperakui formula 40 peratus tersebut, ia memberikan justifikasi kepada kerajaan persekutuan dalam meneruskan membuat bayaran berdasarkan dengan hanya jumlah RM26.7 juta setiap tahun sejak 1974.
Jika ini sebabnya maka nampak seolah-olah kerajaan Persekutuan berselindung di sebalik peruntukan Perkara 112D (3) FC dalam mewajarkan/menjustifikasikan tindakan mereka dalam mengekalkan bayaran sebanyak hanya RM26.7 juta setahun walaupun secara jelas jumlah sepatutnya adalah lebih banyak jika semakan yang seharusnya dilakukan pada tahun 1974 telah dibuat.
Saya tidak percaya bahawa maksud dan niat Perlembagaan Persekutuan kita dalam mengiktiraf hak Sabah untuk diberikan Pemberian Khas dalam mengutip hasil perolehan bersih sebanyak 40 peratus boleh dinafikan dan diabaikan begitu sahaja apabila hak tersebut dengan jelas dinyatakan dan sehingga hari ini kekal terukir di dalam Perlembagaan Persekutuan.
Kita juga mendengar daripada pemimpin-pemimpin kerajaan negeri Sabah bahawa mereka akan memperjuangkan dan menuntut hak Sabah berdasarkan formula 40 peratus tersebut. Namun, daripada pendirian yang dijelaskan oleh Tengku Zafrul dan alasan lain bahawa adalah di luar kemampuan kewangan kerajaan Persekutuan pada waktu ini untuk mempertimbangkan pembayaran berdasarkan formula 40 peratus tersebut; adakah ia bermaksud bahawa tidak wujud langsung rundingan pembayaran balik kepada Sabah berdasarkan formula 40 peratus tersebut bermula dari tahun 1974? Atau rundingan diantara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan negeri Sabah itu hanya untuk pembayaran masa hadapan bermula dari 2022 dan seterusnya? Sebelum mana-mana pemimpin Sabah mula menumbuk meja dalam menuntut hak kita, ini adalah persoalan yang amat penting yang rakyat Sabah mahukan jawapannya. Kerajaan negeri Sabah dan Kerajaan Persekutuan perlu menjelaskan kepada rakyat Sabah mengenai terma rujukan rundingan mereka.
Jika benar kerajaan Sabah tidak akan berundur daripada menuntut hak Pemberian Khas kepada Sabah berdasarkan formula 40 peratus tersebut, maka pemimpin- pemimpin negeri kita mesti tegas dalam meminta agar kerajaan Persekutuan mesti telus dalam memberitahu/mendedahkan kepada Sabah jumlah sebenar hasil perolehan yang telah dikutip dari Sabah setiap tahun. Tanpanya, Sabah akan sentiasa tempang di atas meja rundingan kerana tidak dapat mengetahui nilai sebenar 40 peratus kelayakan kita kerana ia mestilah berdasarkan jumlah sebenar keseluruhan perolehan hasil yang dikutip oleh kerajaan persekutuan selama ini.
Mungkinkah juga sebab kenapa kerajaan persekutuan tidak lagi mengiktiraf formula 40 peratus tersebut adalah untuk mengelak daripada mendedahkan dan menafikan Sabah maklumat jumlah sebenar perolehan hasil yang mereka kutip dari Sabah selama ini dan yang akan datang?
Jika kerajaan Persekutuan masih bertegas tidak mahu berunding sama sekali untuk membayar atau menambah bayaran kepada Sabah sejak 1974 berdasarkan kepada formula 40 peratus tersebut, maka kerajaan Sabah perlu mengambil serius untuk membawa perkara ini dan menguatkuasakan hak Sabah ke tahap yang lebih tinggi.
Jikalau perlu untuk menyelasaikan pertikaian ini secara perundangan dan membawa perkara ini ke Mahakamah maka Kerajaan Negeri Sabah perlu bersedia untuk melakukannya. Sudah tiba masanya isu ini diputuskan dan diadili oleh Mahkamah berdasarkan kepada Perundangan negara jika rundingan diantara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri tidak memberi keadilan yang sepatutnya kepada Sabah atau paling teruk menafikan hak perlembagaan Sabah yang secara langsung tidak menghormati semangat dan niat MA63.
Kemudaratan yang paling teruk akan menimpa rakyat Sabah jika hak perlembagaan mereka dinafikan sekiranya tafsiran kerajaan persekutuan diterima pakai bahawa formula 40 peratus tersebut tidak lagi terpakai atas alasan berdasarkan kepada Perintah Pemberian Khas Sabah (Ulangkaji Pertama), 1970 meskipun amat jelas bahawa niat perintah itu hanya bertujuan untuk membuat pemberian lain bagi tempoh 5 tahun dari 1969 hingga 1973 dan semakan ke-2 sepatutnya dibuat pada tahun 1974. Disebabkan inilah pihak kerajaan negeri Sabah tidak boleh bersetuju dengan mana-mana cadangan dalam perundingan dengan kerajaan persekutuan yang mana formula 40 peratus tersebut tidak digunapakai dalam mencapai sesuatu persetujuan. Apa-apa persetujuan yang dicapai perlulah berdasarkan kepada niat formula 40 peratus tersebut. Jika tidak, ia akan mengakibatkan satu preseden bahawa formula 40 peratus tersebut boleh diendahkan dan tidak digunapakai.
Tafsiran dan pendirian seperti itu oleh kerajaan Persekutuan bahawa formula 40 peratus tersebut tidak lagi terpakai mesti dicabar dari segi perundangan dan berani saya katakan tafsiran tersebut perlu diperbetulkan. Para pemimipin Sabah mempunyai tanggungjawab untuk menyelasaikan secara muktamad perkara ini untuk generasi rakyat Sabah yang akan datang. Bayangkan jika hak Sabah dalam menerima 40 peratus hasil perolehan bersih dihormati, kita akan mampu untuk merancang dan membangunkan negeri kita tanpa perlu menunggu dan bergantung kepada ‘budibicara’ atau kerajaan Persekutuan dalam memperuntukkan dana pembangunan yang lebih banyak setiap tahun.
Perselisihan faham akan berkurangan dan mengelakkan satu lagi pertikaian diantara rakyat dan menteri negeri kita mengenai tuntutan dan tangunggjawab siapa dalam memperbaiki keadaan jalan raya di Sabah di dalam media sosial. Bahawa pelajar dinegeri Sabah tidak perlu lagi memanjat pokok hanya untuk mendapatkan liputan internet yang baik supaya mereka boleh menyertai kelas dalam talian dan peperiksaan dalam talian. Bahawa murid-murid sekolah kita tidak perlu lagi mempertaruhkan nyawa mereka setiap hari berpaut pada kabel jambatan gantung yang rosak supaya mereka boleh menyeberangi sungai untuk dapat menghadiri sekolah. Kita akan menjadi salah satu daripada, (jika bukan) negeri terkaya dan paling maju di Malaysia. Namun yang menyedihkan, sehingga hari ini kita hanya mampu untuk membayangkan dan mengimpikannya.
Para Pemimpin pengasas kita dahulu telah dipujuk dengan bersama-sama membentuk Persekutuan Malaysia, rakyat kita pada masa itu dan generasi yang akan datang akan dapat menikmati kehidupan yang lebih baik dengan pembangunan yang setara (jika tidak lebih baik) dengan saudara kita di Semenanjung Malaysia. Selepas hampir 59 tahun penubuhan Malaysia, adakah kita benar-benar telah merasainya?