PAITAN: Jemaah Menteri telah bersetuju secara prinsipnya dengan cadangan bagi Daerah Kecil Paitan dan Sook dinaiktaraf kepada Daerah Penuh, jelas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Hj Noor dekat sini baru-baru ini.
Beliau menekankan bahawa hanya dengan menaiktaraf kedua-dua daerah kecil ini akan merubah lanskap pembangunan dan memberi kesejahteraan yang sebenar selaras dengan halatuju Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya 2021-2025.
Menurut Hajiji, cadangan menaiktaraf bagi Daerah Kecil Paitan telah dibawa ke Mesyuarat Jemaah Menteri pada 24 Januari 2024, di mana Jemaah Menteri telah bersetuju secara prinsipnya dengan cadangan tersebut tertakluk kepada beberapa perkara teknikal khususnya yang melibatkan persempadanan daerah yang perlu diselesaikan.
Beliau berkata demikian pada Majlis Berbuka Puasa anjuran bersama Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Negeri dan Pejabat Daerah Kecil Paitan di Dewan Terbuka Paitan kelmarin.
Hajiji berharap agar semua urusan berkenaan cadangan menaiktaraf Daerah Kecil Paitan ke Daerah Penuh dipermudahkan dan kita semua akan mendapat perkhabaran yang baik dalam masa yang terdekat ini.
“Adalah menjadi harapan dengan kenaikan taraf daerah ini kelak, maka kemudahan untuk rakyat dapat diperkasakan khususnya kemudahan yang menjurus kepada kesejahteraan rakyat.
“InsyaAllah, Paitan akan dapat beroperasi sebagai daerah penuh dalam masa terdekat ini setelah beberapa perkara teknikal khususnya yang melibatkan urusan pentadbiran, persempadanan daerah dan lain-lain dapat diselesaikan secepat mungkin,” katanya.
Menurutnya lagi, dengan penaiktarafan itu, beliau berharap perkhidmatan Kerajaan kepada rakyat di kawasan Paitan dapat ditingkatkan selaras dengan status daerah penuh.
Di majlis itu, Hajiji juga berkata, beberapa projek lain sudah diluluskan untuk Paitan, termasuk pembinaan Pencawang Masuk Utama (PMU) 132 Kilovolt (KV) elektrik dari Bengkoka, Pitas ke Sugut, Paitan.
Turut dilaksanakan katanya, ialah projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) Sugut, Paitan yang membabitkan 11 kampung, manakala satu lagi projek yang akan dilaksanakan ialah Jalan Mini Estet Sejahtera (MESEJ) Tabatu, Paitan sepanjang 5.6 kilometer.
Sementara itu, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) Datuk James Ratib berkata tarikh 30 Mac 2024 bersamaan 19 Ramadan1445H merupakan satu tarikh bersejarah yang sudah pastinya akan terpahat dalam hati rakyat Paitan.
Ini kerana, katanya, YAB Ketua Menteri Sabah, mengumumkan Daerah Kecil Paitan bakal diiktiraf menjadi Daerah Penuh sedikit masa lagi.
Dalam masa yang sama, James yang juga Adun N48 Sugut, mewakili rakyat Paitan turut berterima kasih kepada Ketua Menteri kerana terus prihatin dengan keperluan rakyat di sini dengan meluluskan peruntukan pembinaan Dewan Serbaguna Paitan berjumlah RM2 juta dan beberapa lagi projek berimpak besar kepada rakyat Paitan, yang mana sebahagiannya kini dalam perlaksanaan dan akan dilaksana.