Anggota Polis dan Penguatkuasa KPDN melakukan pemeriksaan keatas minyak diesel yang disorok.
LABUAN: Kegiatan menyorok minyak diesel dalam sebuah rumah yang dijadikan stor haram di kampung Tanjung Aru di sini tumpas apabila kegiatan itu berjaya dihidu oleh sepasukan anggota Penguatkuasa KPDN Labuan bersama Polis dalam satu serbuan bersepadu Ops Tiris 4.0.
Pengarah KPDN Wilayah Persekutuan Labuan, Junaidah Arbain berkata, pihaknya dengan kerjasama Polis Daerah Labuan berjaya menumpaskan satu kegiatan itu selepas menerima maklumat risikan daripada Unit Risik KPDN Labuan dan anggota Polis dari Balai Polis Lubok Temiang
“Hasil pemeriksaan lanjut di lokasi telah menemukan tiga (3) unit tangki jenis Intermediate Bulk Container (IBC) berkapasiti 1,000 liter yang mengandungi cecair disyaki minyak diesel, tiga (3) unit pam elektrik lengkap bersama hos, sebuah kenderaan pacuan empat roda serta sebuah tangki tambahan kenderaan yang dipercayai digunakan bagi tujuan pemindahan barang kawalan tersebut”, katanya dalam satu kenyataan disini, pada Khamis.
Bagaimanapun, semasa serbuan dilakukan tiada individu ditemukan di lokasi dan premis tersebut hanya dijadikan lokasi persinggahan penyimpanan minyak diesel sebelum dipindahkan ke lokasi lain.

Keadaan rumah yang dijadikan stor haram penyimpanan minyak diesel tanpa kebanaran.
Jumlah keseluruhan minyak diesel yang ditemui di lokasi dianggarkan sebanyak 2,870 liter.
Jelas Junaidah, kesemua barang kes termasuk minyak diesel yang disyaki barang kawalan tersebut telah disita untuk tindakan lanjut.
“Nilai sitaan dianggarkan mencecah lebih RM106, 000.00 dan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122]”, katanya.
Jika sabit kesalahan, individu boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga (3) tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama. Bagi syarikat pula, boleh dikenakan denda sehingga RM2 juta mengikut peruntukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122].



