26 C
Kota Kinabalu
Jumaat, September 13, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Cukup-cukuplah menggoncang kestabilan politik: Kong Soon Choi

RANAU: “Cukup-cukuplah menggoncang kestabilan politik negeri Sabah kerana rakyat sudah bosan menilai situasi ini dan tunggu sehingga Pilihanraya Umum Negeri Sabah seterusnya”.

Demikian ditegaskan Ketua Wiramuda Parti Solidariti Sabah Tanah Airku (StarSabah), Kong Soon Choi (gambar) ketika mengulas perkembangan terkini politik negeri ini.

Jelasnya, para pemimpin yang riak mengejar kekuasaan politik perlu menghormati mandat rakyat Sabah yang selama ini mengharapkan pentadbiran kerajaan yang lancar untuk menyalurkan pembangunan sewajarnya.

“Pelbagai peringkat masyarakat membantah tindakan pemimpin politik kita yang cuba mengeruhkan kestabilan politik negeri ini. Sudah-sudahlah dan ada baiknya bersatu padu demi kemajuan dan pembangunan negeri ini”. Tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan terkini politik Sabah yang menyaksikan Pengerusi Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin bersama beberapa Adun parti itu menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Sabah pada Jumaat.

Katanya, tindakan Bung Moktar bersama beberapa wakil rakyat beliau menunjukkan pemimpin itu tidak menghormati mandat yang diberikan rakyat selama ini dan tidak bersyukur dengan apa yang diperolehinya sebagai seorang menteri penuh dalam Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Begitu kecewa rakyat Sabah melihat gelagat pemimpin seumpama itu. Walhal dalam masa ini, saya mengambil contoh kerosakan-kerosakan jalan raya merata tempat di negeri Sabah, tidak pun beliau hiraukan sebaliknya sibuk mengatur strategi politik yang mengeruhkan kestabilan”. Katanya.

Dalam pada itu, Kong yang juga Timbalan Ketua Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, pentadbiran Datuk Seri Hajiji Hj.Noor selaku Ketua Menteri Sabah telah melonjakkan pendapatan negeri daripada RM5 bilion kepada RM6.6 bilion yang cukup membanggakan.

Beliau turut berharap kesemua wakil rakyat yang menyokong kepimpinan Ketua Menteri Sabah terus kukuh berdiri bersama pemimpin itu dan tidak berpaling tadah demi kestabilan politik negeri ini.

Tegasnya, beliau bersama-sama kepimpinan Wiramuda Star Sabah akan terus menyokong penuh kepimpinan Hajiji Noor selaku ketua kerajaan negeri Sabah untuk mempastikan pembangunan dan ekonomi negeri terus berada pada paras yang kukuh.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN