Ruslan dalam ucapan Perasmian Pembukaan Coopmart Koperasi Bersatu Kampung Suasa Beaufort Berhad, Beaufort.
BEAUFORT, 11 Jan 2021: Kedai Harga Patut seperti Coopmart memainkan peranan penting dalam menyediakan keperluan harian kepada masyarakat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan Ruslan Muharam berkata, objektifnya ialah untuk membantu rakyat dalam menyediakan, memudahkan mengakses dan mendapatkan maklumat barangan keperluan harian dengan harga berpatutan sekaligus membantu kerajaan menangani isu kenaikan kos sara hidup.
“Hari ini Koperasi Bersatu Kampung Suasa Beaufort Berhad berjaya membuka sebuah kedai coopmart.
“Saya selaku Wakil Rakyat merangkap Pengerusi Koperasi Bersatu Kampung Suasa Beaufort Berhad amat gembira dengan pencapaian ini,” katanya ketika merasmikan Kedai Coopmart Koperasi Bersatu di sini, semalam.
Beliau berkata, pada tahun 2019, sebuah Kedai Coopmart milik Koperasi Jaya Murni Beaufort telah berjaya dilancarkan dan pada masa itu berada dibawah kelolaannya.
Katanya, pelbagai usaha telah dijalankan dan akhirnya berjaya membuka sebuah lagi Kedai Harga Patut.
“Selain itu, objektif pelaksanaan Coopmart ini juga adalah untuk menyediakan lebih banyak pilihan barangan penggantian kepada pengguna serta diperkenalkan dengan bentuk perniagaan moden, tersusun dan lebih sistematik.
“Dengan adanya coopmart ini, ia dapat memberikan manfaat kepada golongan berpendapatan rendah B40 dan sederhana M40 di Kawasan Parlimen Beaufort,” katanya.
Menurutnya, keperluan pembukaan sebuah lagi kedai Coopmart sangat diperlukan di Pekan Beaufort memandangkan sambutan sangat positif terhadap pembukaan kedai Coopmart Koperasi Jaya Murni Berhad.
Katanya, ia juga sebagai salah satu usaha membantu generasi muda memperolehi pendedahan awal dalam bidang perniagaan dan seterusnya memberikan peluang pekerjaan.
“Untuk makluman, dalam masa terdekat juga sebuah lagi kedai coopmart di Kg Lumadan akan dibuka dengan harapan dapat membantu rakyat yang menetap jauh daripada kawasan pekan.
“Sebagai ADUN Lumadan, saya terpanggil untuk menyampaikan hasrat dan aspirasi kerajaan, melalui penubuhan Koperasi ini. Ia merupakan satu entiti yang diiktiraf sebagai sektor ketiga pemangkin ekonomi negara.
“Pengiktirafan yang diberikan kerajaan ini menunjukkan peranan penting yang dimainkan oleh koperasi dalam pembangunan ekonomi,” katanya.
Justeru katanya, rakyat haruslah menggunakan peluang–peluang yang ada untuk merancang dan melaksanakan aktiviti ekonomi yang lebih berimpak tinggi untuk memberikan pulangan yang kepada semua anggota-anggota koperasi.
Ruslan juga berharap koperasi seumpamanya akan terus memainkan peranan penting kepada peningkatan sumber pendapatan serta menjadi medium penyatupaduan hubungan silaturahim dalam kalangan anggota-anggota koperasi dan juga masyarakat setempat.