34 C
Kota Kinabalu
Ahad, April 14, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

CI@UMS tawar kelas Bahasa Cina percuma kepada guru dan pelajar SMK Gadong Beaufort

Pengetua, guru dan pelajar SMK Gadong yang merancang mengikuti kelas bahasa Cina dengan CI@UMS.

BEAUFORT: Confucius Institute @ Universiti Malaysia Sabah (CI@UMS) merancang untuk menawarkan kursus Bahasa Cina (HSK Tahap 1) secara percuma kepada guru dan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gadong di sini yang berminat.

Perkara itu disuarakan ketika rombongan CI@UMS yang diketuai Profesor Madya Deng Rong (Pengarah China) dan Profesor Dr Low Kok On (Pengarah Malaysia) mengadakan lawatan di sekolah berkenaan.

Menurut Low Kok On, HSK ialah peperiksaan yang menawarkan sijil yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

“Semua pelajar yang berminat untuk mengikuti pengajian ijazah sarjana muda di universiti China harus mempunyai sekurang-kurangnya kelayakan sijil HSK, Tahap 3.

“CI@UMS turut menyediakan kelas bimbingan secara percuma kepada semua calon yang akan menduduki peperiksaan Bahasa Cina HSK,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sesi taklimat kepada pelajar dan guru SMK Gadong.

Low Kok On turut menerangkan sejarah, tujuan penubuhan dan aktiviti CI@UMS secara ringkas.

Menurut beliau, CI@UMS ialah sebuah institut pengajaran bahasa dan budaya Cina bagi warga di seluruh Sabah.

“Selain itu, CI@UMS juga membantu pelajar dari seluruh Sabah yang mengambil peperiksaan HSK di CI@UMS bagi memohon biasiswa untuk melanjutkan pengajian mereka di China,” jelasnya.

Hadir sama pada program itu Pengetua SMK Gadong Siti Jubaidah Haji Karia.

Sementara itu, seorang pelajar bahasa Cina di CI@UMS, Dr Musnin Misdih turut berkongsi pengalaman beliau kepada pelajar dan guru SMK Gadong.

Beliau yang juga pensyarah di Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (ASTiF) UMS berkata, pelajar bukan Cina yang fasih berbahasa Cina akan menguntungkan mereka samada dari segi peluang pekerjaan atau berkomunikasi dengan masyarakat Cina kelak.

Kunjungan CI@UMS ke sekolah menengah itu turut menyaksikan pendaftaran para guru dan pelajar untuk mengikuti kelas Bahasa Cina yang dijangka dibuka pada pertengahan Oktober depan.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN