ROSAK… Papan tanda berhenti di hadapan pondok pengawal rosak selepas dirempuh suspek.
RANAU: Sepasang suami isteri ditahan selepas menceroboh dan melakukan khianat di Balai Polis Ranau, pada Sabtu lalu.
Ketua Polis Ranau, DSP Simiun Lomudin berkata, dalam kejadian labih kurang 9.17 pagi, kedua-dua suspek yang menaiki sebuah kenderaan jenis Proton Wira telah masuk ke kawasan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau secara melulu dan merbahaya.

PECAH… Pintu kaca lobi utama IPD Ranau
“Suspek merempuh papan tanda amaran berhenti di hadapan pondok pengawal tersebut sebelum melulu masuk dalam perkarangan IPD..
“Ketika sampai di hadapan lobi balai, seorang lelaki iaitu pemandu telah keluar daripada kenderaan lalu bertindak memecahkan pintu kaca IPD dengan menggunakan sebuah tong sampah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Simiun, beberapa orang anggota polis yang melihat kejadian telah bertindak menangkap dan menahan suspek bersama pasangannya dan merampas kereta yang digunakan oleh suspek.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati punca kejadian adalah kerana suspek lelaki (suami) dipercayai di bawah pengaruh dadah.

DSP Simiun Lomudin
“Tangkapan telah dirujuk ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, IPD Ranau untuk saringan air kencing dan mendapati suspek lelaki positif dadah jenis ‘methaphetamine’ manakala suspek wanita adalah negatif.
“Kedua-dua suspek yang berumur antara 27 dan 33 tahun itu kemudiannya ditahan reman untuk siasatan lanjut,” katanya.