Gambar : Jabi ketika menanam pokok tuhau, simbolik pembukaan kawasan tersebut
TAMBUNAN : Syarikat Cahaya Kasih dan Al falah Enterprise melangkah setapak lagi dengan membuka projek penanaman baharu produk hiliran tuhau di kawasan tanah milik persendirian seluas kira-kira enam hektar lebih di Kampung Kumawanan Tambunan, 37 kilometer dari pekan.
Syarikat Cahaya Kasih dan Al Falah Enterprise yang masing-masing mengusahakan serunding berasaskan tuhau dan bahan-bahan kraftangan menjalin kerjasama membangunkan projek tersebut bagi tujuan jangka masa panjang iaitu menampung bekalan tuhau kepada Cahaya Kasih.
Ketika dihubungi media, pembekal serunding tuhau, Wasinah Kuntagil berkata penanaman produk hiliran tuhau itu sebenarnya telah dirancang dua tahun lepas bersama Jabatan Pertanian Sabah (Penyelidikan Lagud Sebrang) namun tertangguh disebabkan pandemik. Menurutnya bantuan anak benih tuhau yang disediakan oleh pihak jabatan itu sebelum ini juga terpaksa dibatalkan disebabkan masalah tersebut.

Wasinah menerima sumbangan Kacip Fatimah daripada Rimin (berbaju putih) disaksikan oleh Jabi (tengah)
“Saya bersyukur kerana pada hari ini 16/3/2022 program ini akhirnya telah dapat direalisasikan dengan kehadiran beberapa orang pegawai dari Stesen Penyelidikan Lagud Sebrang Tenom yang diketuai oleh Ketua Penolong Pengarah Penyelidik, Jabi Tananak dan Pegawai Penyelidik Kanan, Rimin Maun.” Katanya.
Menurut Wasinah, upacara perasmian penanaman pokok tuhau yang dlakukan oleh Jabi merupakan simbolik kepada bermulanya pembukaan kawasan itu sebagai tempat penanaman produk hiliran tuhau. Program itu yang mendapat perhatian dan pemantauan sepenuhnya oleh jabatan tersebut selain penanaman tuhau ia juga akan dibuka bagi penanaman tanaman herba Kacip Fatimah. Kedua-dua tumbuhan ini saling melengkapi program itu iaitu untuk menjadikan kawasan tersebut seterusnya sebagai pusat agro pelancongan pada masa akan datang.
“Saya berterimakasih kepada pihak jabatan kerana sentiasa memberikan sokongan dan perhatian berhubung pembekalan anak benih tuhau dan juga kacip fatimah. Selebihnya ialah cadangan pembinaan jalanraya dan peneresan kawasan bagi penanaman tuhau dan memudahkan kenderaan untuk mengangkut hasil kelak.” Katanya lagi.