31 C
Kota Kinabalu
Selasa, Mac 18, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Bung terdesak demi raih populariti : Kong

KOTA KINABALU: Kenyataan Pengerusi Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin baru-baru ini yang memperlekehkan parti-parti tempatan negeri Sabah merupakan tindakan terdesak untuk meraih populariti dikalangan pemimpin dan ahli parti itu sahaja.

Naib Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Kong Soon Choi berkata, keterujaan Bung dihadapan Presiden Umno yang juga Timbalan Perdana Menteri Malaysia ketika mengeluarkan kenyataan tidak releven seumpama itu telah menyentuh hati sebilangan besar pengundi di negeri ini.

“Kenyataan beliau menggambarkan pemimpin itu seakan bukan seorang tokoh yang telah lama berkecimpung dalam arena politik. Hanya semata-mata ingin meraih populariti dari Presiden Umno, beliau sanggup memperlekehkan parti tempatan negeri Sabah”. Tegasnya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Kong turut mempersoalkan kenyataan Bung yang menyifatkan parti lokal sebagai punca kepada kemiskinan negeri Sabah dan mengajak beliau bermuasabah diri untuk mengimbas semula zaman pemerintahan Umno dan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Katanya, paras kemiskinan di Sabah sewaktu pemerintahan kerajaan Umno dan BN sebelum ini turut mencatatkan paras tertinggi dan tindakan menyalahkan parti lokal sebagai punca kemiskinan suatu penghinaan.

“Parti lokal juga memainkan peranan penting dalam aspek pembangunan negeri Sabah. Kelantangan para pemimpin lokal yang tidak pernah berputus asa menyuarakan tuntutan hak-hak negeri seperti mana yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 merupakan bukti komitmen mempastikan negeri ini terus maju jaya”. Katanya.

Dalam pada itu, Kong turut bertanya kepada Ahli Parlimen Kinabatangan itu mengenai status pembangunan dikawasan beliau adakah telah mencapai pembangunan yang memberangsangkan atau masih bergelut dengan pelbagai masalah infrastruktur yang merumitkan rutin kehidupan rakyat.

Tegasnya, kritikan terhadap parti lokal yang disifatkan menjadi punca kemiskinan negeri Sabah perlu dikecilkan kepada skop penilaian kawasan yang beliau wakili iaitu Parlimen Kinabatangan terutama sekali dari sudut pembangunan infrastruktur.

Pada Ahad, Datuk Seri Bung Moktar radin ketika menyampaikan ucapan dalam konvensyen Barisan Nasional di Sandakan menyatakan, terdapat 14 parti tempatan di Sabah, termasuk yang menjadi kerajaan negeri, tetapi negeri ini kekal miskin.

“Parti cap ayam pun ada, mahu juga tanding (pilihan raya). Ada 14 parti tempatan, tapi Sabah ini miskin ditadbir oleh (kerajaan negeri) parti tempatan,” katanya.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN