Jess Joel Moriga
KOTA KINABALU: Kenyataan Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar berkenaan dengan Sabah miskin di bawah pemimpin parti tempatan ibarat meludah ke langit dan jatuh pada diri sendiri.
Demikian dikatakan Setiausaha Exco Wiramuda StarSabah, Jess Joel Moriga terhadap kenyataan Bung pada Konvensyen BN Sabah 2024 di Sandakan
baru-baru ini.
“Kemiskinan yang dihadapi oleh Sabah ketika ini bukan berpunca dari pentadbiran kerajaan yang baru mentadbir Sabah sejak 2-3 tahun yang lalu.
“Tapi ini adalah hasil daripada pentadbiran Kerajaan Barisan Nasional yang diketuai oleh UMNO sendiri baik di peringkat negeri mahupun peringkat persekutuan,” katanya.
Menurut Jess Joel, berdasarkan rekod, UMNO BN adalah antara Parti yang lebih lama memerintah Sabah dalam 22 tahun bersamaan dengan dua dekad dan lebih 60 Tahun di peringkat kerajaan Persekutuan.
Soal Ketua Wiramuda Tamparuli itu, sekiranya UMNO BN hebat dan benar-benar memperjuangkan nasib rakyat Sabah kenapa selama 22 di Sabah dan lebih 60 tahun mentadbir Persekutuan Malaysia, lapan daripada 10 daerah miskin direkodkan di Sabah?
“Takkan la selama 22 Tahun dalam 60 Tahun mereka tidak dapat membantu menghampuskan dearah-daerah miskin tersebut?
“Sekarang di bawah kepimpinan parti-parti tempatan di dalam Gabungan Rakyat Sabah, satu persatu tuntutan hak-hak Sabah telah dikembalikan untuk memperkukuhkan lagi ekonomi negeri ini.
“Dan ini hanya berlaku pada zaman pemerintahan Parti Lokal dan bukanya UMNO BN. Disaat kerajaan negeri di bawah kepimpinan YAB Ketua Menteri Sabah bertungkus lumus membangunkan Sabah,” katanya.
Jess Joel juga berkata sekali lagi selepas pilihan raya negeri yang lepas ada percubaan untuk merampas kuasa yang dikenali sebagai ‘Langkah Kinabalu’.
Itu, katanya, jelas menjadi salah satu faktor yang telah menyumbangkan kepada gangguan pembangunan untuk rakyat Sabah oleh kerana ketidak stabilan politik.
Menurut Setiausaha Exco Wiramuda StarSabah itu, model kepimpinan parti tempatan adalah formula yang baik untuk rakyat Sabah dengan merujuk kepada kemajuan infrastruktur dan ekonomi Negeri Sarawak.
“Kita boleh lihat sendiri Direct Result daripada kepimpinan Parti tempatan di Negeri Sarawak, mereka kini menjadi Negeri berpendapatan tinggi yang di iktiraf
oleh bank dunia.
“Saya percaya Sabah juga boleh mencapai kearah itu tetapi mungkin sedikit kemudian kerana sebelum ini Negeri dan Negara ini di bawah pemerintahan UMNO BN, itu mungkin menjadi satu faktor besar kepada kemiskinan yang dihadapi dengan Negeri ini.
“Saya faham, beliau (Bung) mungkin melontarkan ucapan tersebut untuk meyakinkan rakyat Sabah untuk memilih UMNO BN semula, tapi generasi baharu dan rakyat kini sudah puas dengan pencapaian yang mereka telah lakukan selama 22 tahun yang lalu,” katanya.
Jess Joel menambah, kini rakyat lebih bijak untuk memilih siapa yang terbaik untuk mentadbir negeri ini.
“Jadi tidak hairanlah dengan kata-kata Bung tersebut, mungkin musim pilihan raya sudah hampir jadi kena main sentiment sikit untuk dapat perhatian,” jelas beliau.